Masa untuk Gempak Most Wanted Awards 2024! Ketahui siapa yang menang dan strim LIVE hari ini!
HIBURAN

"Makanan Kesihatan Tak Membunuh Sel Kanser" - Dr. Imelda

Asraf Aided 26/07/2019 | 11:21 MYT
Pakar sakit puan, Dr. Imelda Balchin menegaskan makanan atau minuman kesihatan tidak mampu membunuh sel kanser seperti yang didakwa oleh segelintir pihak.
Menerusi program kesihatan wanita, Tanya Doktor Imelda, episod empat yang bersiaran malam tadi, Dr. Imelda menjelaskan bahawa makanan atau minuman kesihatan hanya baik untuk kesihatan secara umum, namun pendapat yang mengatakan makanan sebegitu mampu membunuh sel kanser adalah mitos semata-mata.
"Sememangnya makanan atau minuman kesihatan baik untuk tubuh badan, tapi dakwaan yang mengatakan ia dapat membunuh sel kanser adalah mitos semata-mata.
"Apa yang penting adalah langkah pencegahan seperti berhenti merokok, jangan minum minuman beralkohol dan menjaga berat badan dengan baik," katanya dalam episod malam tadi.
Dalam pada itu, Dr. Imelda menambah, senaman yang berterusan juga mampu membantu seseorang untuk mencegah kanser.
"Selain penjagaan makanan, senaman yang diamalkan secara konsisten juga mampu mencegah 13 jenis kanser, jadi amalkanlah secara berterusan," tambahnya.
Tanya Doktor Imelda dihoskan oleh Lisa Surihani dan menampilkan seorang pakar sakit puan, Dr. Imelda Balchin dan beberapa tetamu undangan setiap minggu.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan info mengenai kesihatan wanita dalam Tanya Doktor Imelda yang ditayangkan pada setiap Khamis, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD(121).
Anda juga boleh menonton program ini dimana-mana sahaja pada waktu yang sama menerusi tiga platform Gempak iaitu Facebook, YouTube dan portal rasmi www.gempak.com.
#Tanya Doktor Imelda