HIBURAN

Pemergian Nassier Wahab Turut Dirasai Permaisuri Agong

Fiza Kamarudin 05/12/2019 | 12:34 MYT
Hari ini industri hiburan dikejutkan dengan pemergian penyanyi popular era 80-an, Datuk Nassier Wahab, pada awal pagi tadi di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC).
Bukan sahaja peminat, rakan-rakan seperjuangan Allahyarham turut merasai kehilangan sahabat mereka yang mempunyai sifat menyenangkan itu.
Tidak terkecuali, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut berkongsi kesedihan di Twitter peribadinya.
Baginda telah menzahirkan ucapan takziah dan sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham.
Pada tahun 2017 Nassier dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Difahamkan Allahyarham meninggal dunia kerana kanser gusi dan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 57 tahun, disisi isteri tercinta, Fatimah Abdul Rauf, 56.
Terdahulu, Nassier, pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu, akibat kanser gusi dihidapinya.
Nassier juga mendapatkan rawatan susulan dengan melakukan Kimoterapi dan Radioterapi di UMSC selepas itu.
Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.
Selain isteri, Nassier turut meninggalkan seorang anak perempuan berusia 22 tahun, iaitu Intan Najihah.
Jenazah Datuk Nassier Wahab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah, Klang, pada jam 11.35 pagi tadi.
#Meninggal Dunia #Nassier Wahab