HIBURAN

Penangan Lagu Amalina, Santesh Terkejut Peminat Melayu Mahu Ajak Bergambar

Kamaruddin Razal 06/09/2018 | 05:24 MYT
Penyanyi lagu Amalina, Santesh mengakui tidak menjangkakan single berbahasa Melayu pertamanya mendapat sambutan yang sangat positif.

Mula menjejakkan diri dalam dunia hiburan India tempatan semenjak tahun 2011, jejaka berusia 29 tahun ini sememangnya menanam impian untuk memasuki pasaran Melayu.

BACA: Trending No 1 Di YouTube, Kenali Santesh - Penyanyi Lagu Viral Amalina

"Saya mula menghasilkan single Tamil pada tahun 2011. Semenjak itu, saya memang aktif menyanyi. Dalam hati kecil saya menyimpan hasrat untuk memasuki pasaran Melayu.

"Baru-baru ini, saya melihat 'posting' komposer lagu Amalina, Harry Khalifah di laman sosial. Dia sudah menyiapkan single tersebut dan sedang mencari penyanyi untuk mendendangkannya.

"Saya tak sangka percubaan saya menyanyikan lagu Amalina dalam cara tersendiri iaitu menukarkan liriknya dalam Bahasa Tamil mendapat perhatian.

"Harry menghubungi saya dan mahu saya merakamkan lagu tersebut. Apa yang membuatkan saya terkejut, lagu ini mendapat respon yang sangat positif. Ramai yang sukakan lagu Amalina," kata Santesh.


Mula dimuat naik di laman YouTube pada 27 Ogos lalu, lagu ini telah meraih hampir 2.3 juta tontonan serta menduduki tangga pertama carta trending YouTube ketika artikel ini ditulis.

Dalam pada itu, penangan lagu Amalina juga membuatkan Santesh mula mengumpul peminat dari kalangan orang Melayu.

"Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada lagu Amalina. Apabila lagu ini meledak, saya sangat bersyukur.

"Saya mula ditegur peminat berbangsa Melayu dan mereka mahu bergambar dengan saya. Saya merasakan ini satu permulaan yang baik untuk saya mengembangkan lagi kerjaya dalam bidang hiburan," katanya lagi.

Selepas kejayaan lagu Amalina, Santesh bakal mengeluarkan lagu Amalina dalam versi bahasa Tamil.

Selain itu, Santesh yang bernaung dibawah Padu Records dan MVM Music sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan single berbahasa Melayu seterusnya.
#Penyanyi #Penyanyi #Amalina #Santesh