HIBURAN
"Pitt Memang Berpakat Dengan Arwah Baba Tinggalkan Mama .." - Fauziah Nawi
Pelakon berbakat, Fauziah Nawi bersyukur dengan kehadiran arwah anak, pengarah Pitt Haniff selama 43 tahun dalam kehidupannya.
Menurut Fauziah, Pitt adalah seorang anak yang baik terhadap ibunya.
"Alhamdulillah. Syukur kerana meminjamkan Allahyarham Mohd Firdaus Haji Mohd Hanif kepadaku ibunya ya Allah.
"Hari ni hari kelima @pitthanif tinggalkan mama. Pitt anak yg baik tak pernah meninggikan suara dan tak pernah mempertahankan diri Pitt biar apa pun mama cakap," tulisnya.
Walaubagaimanapun, Fauziah reda dengan pemergian anak lelakinya itu.
"Mama reda Pitt. Cuma satu mama nk cakap Pitt memang berpakat dengan arwah baba tinggalkan mama.
"Tak mengapa Pitt. Mama reda. #MogaAllahmemberiEhsanNyabuatPittdanbaba," tulisnya lagi.
Pengarah filem Coast Guard itu meninggalkan seorang isteri, Farah Ahmad dan tiga cahaya mata.
Sabtu lalu, Pitt dilaporkan lemas ketika memancing selepas bot yang dinaiki di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang karam sekitar pukul 1 tengah hari.
Jenazah ditemui terapung oleh pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 4.25 petang Ahad.
Jenazah telah selamat dikebumikan sekitar jam 2 pagi di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur.