HIBURAN
Rai Ulang Tahun ke 25 Sebagai Penyanyi Solo, Awie Hadiahkan Konsert Untuk Peminat
Untuk meraikan ulang tahun ke-25 perjalanan nyanyian solonya dalam industri hiburan tanah air, Datuk Awie hadiahkan ‘Konsert Awie Romantika’ buat peminat.
Datuk Awie atau Awie berkata ‘Konsert Awie Romantika’ adalah sebuah konsert bertemakan cinta dan tentunya bakal ada kelainan dan keistimewaan tersendiri.
“Saya akan cuba mengangkat tema romantika dan bakal menampilkan persembahan berkonsepkan konsert teaterikal atau muzikal.
“Pilihan lagu pula dibuat oleh saya sendiri selaku pengarah muzik dan tentunya susunan muzik juga akan lebih segar,” katanya.
Awie ditemui Gempak ketika majlis sidang media Konsert Awie Romantika di Flora Terrace, Hampshire Place, Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Dalam pada itu Awie turut berharap agar peminat teruja dengan konsert ini, terutama yang pernah membesar dengan lagu-lagunya.
“Setelah hampir 25 tahun tidak muncul dengan konsert secara solo, saya berharap peminat saya berasa teruja dengan penganjuran konsert ini.
"Dapatlah kiranya semua yang pernah membesar dengan lagu-lagu saya hadir ke konsert ini kerana anda semua pasti terimbau kembali zaman ketika masih muda dan sedang bercinta dulu," katanya ketawa.
Konsert anjuran bersama Atirox Ltd dan IK Global Berhad tersebut akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam pada 15 Febuari tahun depan.
Istimewanya, selain daripada berhibur, pihak penganjur juga ada menyediakan hadiah-hadiah istimewa dalam cabutan nombor bertuah.
Tiket konsert akan dijual dengan harga bermula RM88 hingga RM438. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sesawang www.myticket.asia atau hubungi 03 86050195.
Foto: Maestro Media
Must-Watch Video