HIBURAN

Ratu Kala Jengking: Sakit-Sakit Badan Nadia Brian Bersilat

Amri Hassan 30/04/2018 | 03:27 MYT
Pelakon Nadia Brian memberitahu dia tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang menjalani sesi latihan silat untuk penggambaran filem Ratu Kala Jengking.
Kata Nadia, 27, dia bersama empat pelakon lain perlu menjalani sesi latihan bersilat dengan seorang tenaga pengajar, Fad Anuar, sejak beberapa minggu lalu.
"Kebanyakan babak memerlukan saya bersilat dan berlawan tetapi bukan lebih kepada silat mempertahankan diri.
"Sejak dua minggu lalu semuanya berjalan lancar dan tiada kecederaan serius pun. Sekadar sakit-sakit badan sahaja," katanya kepada Astro Gempak.
Nadia ditemui pada majlis doa selamat filem Ratu Kala Jengking di Wisma Rampai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filem Ratu Kala Jengking melantik Nadia sebagai pelakon utama selain 35 pelakon lain antaranya Amar Asyraf, Fizz Fairuz, Fauziah Nawi, Raja Azmi, Mas Khan dan penyanyi Indonesia, Firman.
"Ini kali pertama saya mendukung watak utama dalam filem, kalau sebelum ini cuma watak pembantu.
"Memang teruja dan gementar juga untuk melakonkan watak legenda yang popular ini," tambahnya yang bakal melakonkan watak Cik Siti dalam filem terbitan A.Aida Productions Sdn. Bhd. itu.
Filem Ratu Kala Jengking akan memulakan penggambaran pada 1 Mei di Kota Tinggi, Johor selama 35 hari.
Teks oleh: Amri Hassan
#Filem #Nadia Brian #Filem #Ratu Kala Jengking