HIBURAN
"Sangat-Sangat Sedih & Terkesan..." - Farahdhiya Berduka Dengan Pemergian Nassier Wahab
Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya meluahkan rasa dukacita atas pemergian penyanyi Datuk Nassier Wahab yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.
Perkara itu dikongsi Farahdhiya menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya.
Farahdhiya yang merupakan rakan seperjuangan Nassier ketika di Gegar Vaganza 2 (GV2) itu turut berkongsi beberapa foto kenangan mereka berdua.
"Sangat sangat sedih dan terkesan apabila menerima berita pemergianmu awal pagi tadi abangku tersayang. Seorang yang terlalu baik dan mengambil berat tentang orang sekelilingnya.
"Terlalu banyak kenangan manis bersamamu sejak Gegar Vaganza 2 (GV2)," tulisnya sebagai kapsyen.
Menurut Farahdhiya, hasratnya untuk melawat Nassier di hospital minggu lepas tidak sempat dilaksanakan.
"Maafkan Farah sebab tak sempat jumpa abang untuk kali terakhir sebelum abang pergi, minggu lepas baru nak melawat abang tapi tak kesampaian, hari ni dapat berita abang dah pergi.
"Salam takziah kepada seluruh keluarga Abang Nassier Wahab, tenanglah dikau di negara abadi, selamat pergi abang, kita juga akan menyusul kemudian, I miss you Abang Nassier, Al-Fatihah," tambahnya mengakhiri kapsyen.
Perkongsian itu mendapat perhatian dari para pengikut Farahdhiya dan beberapa rakan artis yang turut mengucapkan takziah di ruangan komen.
Nassier meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Pada 1 Jun lalu, Nassier pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, dan memberitahu keadaanya semakin pulih.
Difahamkan ketumbuhan tersebut mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.
Terdahulu, Nassier pada April tahun lalu pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.
Nassier pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan menduduki tempat keempat.
Salam takziah diucapkan kepada ahli keluarga Allahyarham.