HIBURAN

“Saya Nak Jadi Penyanyi Hip-Hop, Ayah Okay Je…” – Adam Eiman

Fiza Kamarudin 17/09/2019 | 12:02 MYT
Anak kepada penyanyi rock lagenda, Datuk Hattan iaitu Adam Eiman memilih untuk tidak meneruskan genre nyanyian bapanya.
Adam Eiman atau mahu dikenali sebagai Adam E berkata, walaupun Hattan terkejut dengan keputusan yang dilakukan, namun bapanya itu tetap memberikan sokongan.
“Dari kecil lagi ayah bagi saya dengar lagu rock dalam dan luar negara, tapi apa nak buat jiwa saya tidak ke arah sana (rock).
“Tetapi ayah tidak marah pun bila saya cakap nak jadi penyanyi hip hop, cuma dia menasihatkan saya supaya bersungguh-sungguh dalam nyanyian,” katanya.
Tambah Adam E lagi, dia tidak mahu bergantung kepada bapanya sepanjang berada dalam industri hiburan tetapi mahu dikenali kerana bakat sendiri.
“Ya, saya akui pernah berduet dengan ayah beberapa kali dan yang terbaru saya bakal muncul dengan single berjudul Perlukan Aku bersama beliau.
“Saya tahu orang akan kata saya tumpang nama ayah tetapi saya masuk industri muzik bukan kerana nak gunakan nama dia.
“Saya memang minat untuk menjadi penyanyi rap dan apa salahnya saya mempertaruhkan kebolehan yang saya ada?
“Baiklah bercakap mengenai single sulung ini, lagu Perlukan Aku ini saya cipta sendiri bersama sepupu dan ayah banyak memberi tunjuk ajar,” ujarnya.
Perlukan Aku bakal diedarkan secara digital oleh syarikat rakaman Sony Music Malaysia dan mendapat tajaan daripada kedai pakaian Sasuke.
“Saya tidak sangka akan mendapat tajaan daripada kedai pakaian Sasuke bagi menghasilkan dan mempromosikan lagu ini,” katanya yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang Perhubungan Awam Antarabangsa di sebuah pusat pengajian tinggi swasta.
Dalam pada itu Adam E berkata, dia akan memanfaatkan peluang yang diberikan dalam bidang seni tanpa mensia-siakan pelajarannya.
“Dahulu cita-cita saya nak jadi ahli politik tetapi tengoklah macam mana kerana saya nak sambung buat Masters dulu di London, InsyaAllah,” katanya bersemangat.
#Penyanyi #Penyanyi #Hip Hop #Adam E