HIBURAN
"Saya Saja Nak Usik-Usik... Bergurau" - Siti Nurhaliza Tak Sangka Komen Balas Jadi Viral
Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak menyangka jawapan balasnya terhadap seorang netizen di Instagram menjadi buah mulut wargamaya.
"Saya tak sangka ada yang 'pick up' perkara itu. Sebenarnya, saya saja je komen.
"Bila ada netizen yang memberikan komen sedemikian, saya pun membalasnya... Sekadar mahu mengusik dan hanya ingin bergurau.
"Saya sendiri tak tahu apa respon yang seterusnya kerana tidak menyemak apa yang terjadi selepas saya tinggalkan komen balas terbabit," kata Siti kepada Gempak.
Pada hujung minggu lalu, Siti menyertai acara berbasikal sejauh 78 kilometer bermula di lebuh raya Kajang-Seremban.
Biarpun berdepan kemalangan kecil ketika acara terbabit hingga menyebabkan lutut kirinya tercedera, meluahkan rasa gembira dan syukur apabila dapat menamatkan kayuhan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Siti bakal mengadakan konsert mini pada 14 September akan datang.
Konsert mini Shopee X SimplySiti ini akan membawa peminat mengimbau zaman silam menerusi lagu-lagu hit paling diminati dan akan berlangsung pada jam 8.30 malam.

"Saya berbesar hati ingin mengumumkan mengenai konsert mini ini. Ia merupakan jalinan kerjasama antara produk kosmetik keluaran saya, SimplySiti bersama platform e-Dagang terkemuka Shopee dan CIMB Islamic.
"Ia akan bermula dengan jualan barangan kosmetik jenama saya menerusi Super Brand Day di Shopee yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Ogos 2019, diikuti dengan konsert mini pada 14 September dan diakhiri dengan sesi minum petang pada 18 September," katanya.
Bakal menghiburkan lebih 1,000 orang tetamu, Siti akan menyampaikan rangkaian lagu popular dendangannya.

"Konsep dan perjalanan keseluruhan konsert mini ini masih dalam proses persiapan. Tetapi, saya bakal banyak menyanyikan lagu-lagu hit tiga tahun kebelakangan ini.
"Ia bersempena ulang tahun penjualan produk kosmetik saya di platform e-Dagang terbabit dan Insya-Allah, saya bakal menyanyikan lebih 15 buah lagu," katanya lagi.
Tiket akan mula dijual di Shopee pada 2 Ogos, berharga RM350 untuk kategori Emas dan RM450 untuk Berlian.
Peminat Siti yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM250 untuk produk SimplySiti sepanjang promosi Super Brand Day berpeluang menerima dua tiket bernilai sehingga RM900.