HIBURAN

Selamat Hari Wanita Sedunia! Ini 5 Selebriti Wanita Berpengaruh Pilihan Gempak...

Kamaruddin Razal 08/03/2019 | 12:32 MYT
Hari Wanita Sedunia disambut tanggal 8 Mac setiap tahun. Jasa dan pengorbanan kaum hawa tidak seharusnya dipandang remeh kerana mereka pencetus inspirasi untuk setiap kejayaan yang dicapai.
Dalam aspek hiburan, selebriti wanita bukan sahaja berjaya dalam cabang seni yang diceburi, mereka juga turut cemerlang menggunakan platform yang ada untuk memajukan diri dalam bidang perniagaan.
Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, Gempak menyenaraikan lima artis wanita yang cemerlang dalam bidang seni serta perniagaan.
1. Datuk Seri Siti Nurhaliza
Nama Siti tidak perlu introduksi kerana hampir seluruh rakyat Malaysia mengenalinya sebagai penyanyi nombor satu negara. Selain berjaya mengekalkan momentum karier semenjak 23 tahun lalu, Siti juga berjaya dalam bidang perniagaan menerusi rangkaian kosmetik jenama SIMPYSITI dan label pakaian Creacion By Siti Nurhaliza.
2. Neelofa
Terus ampuh sebagai pengacara popular di Malaysia, Neelofa terus mengkukuhkan kedudukan dalam bidang seni biarpun sering menerima kritikan. Label Naelofar Hijab membuatkan Neelofa terbang tinggi dalam bidang seni sehingga melayakkan namanya tersenarai di Forbes 30 Under 30 pada tahun 2017.
3. Rozita Che Wan
Pelakon kalis kontroversi ini sememangnya tidak pernah lari dari menjadi buah mulut orang. Biarpun namanya sering hangat diperkatakan, wanita yang mesra disapa sebagai Che Ta ini hangat dengan produk kesihatan jenamanya sendiri, By RCW serta tas tangan Rozita Che Wan x Zapatos.
4. Nur Fazura
Aktres jelita ini sering menjadi rebutan ramai penerbit kerana hasil lakonan berkualitinya. Tidak hanya menceburi bidang seni, Fazura juga sibuk dengan perniagaan label fesyen jenama Fazbulous serta produk kecantikan dan kesihatan jenama TruDolly.
5. Nora Danish
Isteri kepada Nedim Nazri Aziz ini masih hangat di gelanggang seni biarpun baru sahaja melahirkan cahaya mata kedua pada tahun lalu. Tidak hanya sibuk dengan aktiviti seni, Nora juga kini mengusahakan salun rambut Karva dan jenama kosmetik Oh Most Wanted!
#Hari Wanita Sedunia