HIBURAN

Selamat Tinggal Adam Levine, Empat Juri Baru Bakal Mewarnai The Voice Musim Ke-17

Azwa Rahman 18/09/2019 | 10:48 MYT
Penyanyi utama kumpulan Maroon 5, Adam Levine mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti The Voice setelah 16 musim bersama rancangan itu.
Untuk musim ke-17 ini, juri asal Blake Shelton akan ditemani John Legend, Kelly Clarkson dan bekas juri Gwen Stefani akan kembali.
Memetik laporan Country Living, Levine sudah lama bercadang mahu meninggalkan rancangan tersebut dan inilah masanya.
Dia turut mahu memberi tumpuan kepada isterinya, Behati Prinsloo dan dua anak perempuannya, Dusty Rose dan Gio Grace.
Biarpun ketiadaan Levine diratapi peminat The Voice seluruh dunia, ada yang teruja dengan penampilan Taylor Swift yang akan kembali selaku mega mentor untuk musim ke-17 ini bermula daripada 24 September 2019.
Swift sebelum ini pernah menyertai keluarga The Voice bagi musim ke-7 selaku mentor kepada para peserta.
Lebih membanggakan apabila The Voice turut menerima banyak pencalonan dalam anugerah berprestij Emmy Awards yang akan berlangsung minggu depan.
Selain anugerah teknikal dan tatarias, The Voice turut menerima pencalonan bagi anugerah utama iaitu Outstanding Competition Program dan Outstanding Casting for a Reality Program.
Tonton Emmy Awards yang akan bersiaran pada 23 September jam 8 pagi di FOXlife saluran 711 dan 722 (HD) dan saksikan senarai pencalonan Emmys di On Demand melalui PVR box bersambung atau Astro GO.
#The Voice #Program #Emmys