HIBURAN

Setahun Usia Siti Aafiyah, Apa Hadiah Hari Jadi Dari Siti Nurhaliza?

Amri Hassan 18/03/2019 | 21:12 MYT
Pasti ramai yang tertanya-tanya dan ternanti-nanti apakah hadiah yang diberikan Datuk Seri Siti Nurhaliza buat anak tunggalnya, Siti Aafiyah Khalid yang genap usia setahun hari ini.

Berkongsi perkara terbabit, kata Siti dia enggan mendidik anaknya untuk menanti-nanti hadiah atau sambutan setiap kali tiba ulangtahun kelahiran.

“Saya tak nak didik dia setiap kali hari jadi perlu ada sambutan. Bagi saya kasih sayang, didik dan jaga dia lebih penting,” katanya kepada Gempak.

Kata Siti dia bersyukur dikurniakan Aafiyah sejak setahun lalu, malah menyifatkan Aafiyah seorang bayi yang tidak banyak kerenah.

“Walaupun baru berusia setahun dan banyak perkara yang dia tidak faham tetapi Aafiyah banyak memudahkan saya, bawa pergi konsert pun tak banyak ragam.

“Sebenarnya saya pun nervous juga sebab dapat Aafiyah agak lambat.

“Kawan-kawan lain anak semua dah bersekolah. Cabaran seterusnya untuk mendidik pula,” tambah Siti.

Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac 2018 selepas 11 tahun usia perkahwinan Siti dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa.
#Penyanyi #Siti Nurhaliza #Penyanyi