HIBURAN
Sufi Rashid Muncul Dengan Implikasi
Juara Akademi Fantasia AF2015, Sufi Rashid kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan buah tangan terbaharunya Implikasi ciptaan sepenuhnya Amy Bong, Den dan gubahan muzik oleh Zimi.
Selepas single ketiganya iaitu Aku Sendiri menerima sambutan yang agak memberansangkan, Sufi terus yakin dan bersemangat untuk memberi kepercayaan kepada single terbaharunya iaitu Implikasi.
Single Implikasi mengisahkan tentang kisah hidup seorang remaja yang kerjaya hidupnya sedang meningkat naik namun tidak mendapat sokongan dari orang terdekat.
Hidupnya semakin sukar apabila ditinggalkan kekasih dan menghadapi masalah keluarga sekaligus menyebab remaja itu hilang arah lalu menghadapi tekanan perasaan hidup.
"Single Implikasi ini ternyata lain dari yang lain, berbeza dengan lagu-lagu Sufi sebelum ini.
"Saya memilih lagu ini kerana melodinya yang mudah diingati dan bait-bait liriknya sangat menyentuh perasaan.
"Penghasilan melodi ke penulisan lirik sehinggalah rakaman di studio berjalan lancar kerana saya mahukan hasil kerja yang teliti dengan mempunyai kriteria sendiri terhadap lagu yang dihasilkan serta mempunyai signature saya," kata Sufi.
Single Implikasi ini diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia.
"Single Implikasi mempunyai kekuatan tersendiri ditambah lagi dengan nyanyian Sufi sekaligus dapat membantu single ini untuk memberi impak kepada pendengar-pendengar diluar sana.
"Sufi juga seorang yang rajin dan semangat bila melakukan sesuatu perkara dan saya yakin dengan semangat yang dia ada, single Implikasi dahirapkan akan diterima baik penggemar muzik Malaysia," kata Feros selaku Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.
Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.