HIBURAN
"Suka Cakap Dialek Bahasa Cina, Kadang-Kadang Saya Guna Untuk... - Dynas Mokhtar
Pelakon Dynas Mokhtar merasakan berlakon menggunakan dialek Bahasa Cina adalah tidak begitu sukar buatnya.
Dynas kini membintangi filem prekuel dari siri KL Gangster Underworld iaitu Rise To Power.
Dynas yang memegang watak sebagai seorang wanita Cina bernama Madam Wong dalam filem itu mengatakan dia sudah biasa bercakap dalam dialek Cina dan menggunakan beberapa perkataan asas Bahasa Kantonis dalam percakapan hariannya.
"Saya tiada masalah berlakon menggunakan dialek Bahasa Cina sebab saya sudah biasa bercakap dalam dialek itu dalam percakapan harian.
"Saya memang suka dialek Bahasa Cina, kadang-kadang saya guna dialek dan beberapa perkataan asas bahasa tersebut hanya untuk bergurau dengan rakan-rakan, kalau mereka tonton filem ini mereka akan cakap 'this is so you'," ujarnya.
Dynas berkata demikian ketika ditemu bual selepas majis pelancaran filem Rise To Power bertempat di Concubine KL, Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam pada itu, Dynas gembira kerana berjaya memberi komitmen sepenuhnya terhadap filem tersebut meskipun dia sarat hamil ketika itu.
"Saya menjalani penggambaran filem ini ketika hamil enam bulan, agak mencabar untuk saya dari segi tenaga, memori dan sebagainya.
"Namun saya gembira kerana masih dapat lakukannya dengan baik, pihak produksi pun banyak membantu dan menjaga saya dengan baik," tambahnya.
Selain Dynas, Rise To Power turut dibintangi oleh Azhan Rani, Tony Eusoff, Hasnul Rahmat, Beto Kusyairi dan ramai lagi.
Filem ini boleh ditonton di iflix bermula hari ini, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video