HIBURAN
Tahniah! 9 Finalis Cover Star ERA 2018 Diumumkan
Debaran pencarian penyanyi cover terbaik tanah air Cover Star ERA 2018 akhirnya berakhir apabila keputusan sembilan finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir diumumkan petang tadi.
Sembilan peserta dipilih tiga juri utama iaitu Siti Nordiana, Syamel dan Sufian Suhaimi.
Mohamad Rafie Abdul Wahab, Shahrul Ridzwan Abd Rahim, Nor Eleya Zainal Abidin merupakan tiga finalis yang dipilih Siti Nordiana.
Manakala, Syamel memilih Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, Mohd Fairudzi Roslee dan Wan Nur Najihah Mohammed Akhir.
Mohd Adzuan Mazlan, Muhammad Syakir Alif dan Mohammad Nur Ariff Nor Sany menjadi pilihan Sufian Suhaimi.
Pertandingan Cover Star ERA yang bermula sejak 2 April lalu telah mendapat kira-kira 10,000 penyertaan di Instagram dengan pelbagai gaya olahan muzik namun hanya sembilan peserta sahaja yang bakal dipilih untuk melepasi sesi saringan yang seterusnya.
Peserta yang layak ke pusingan seterusnya akan berpeluang untuk berguru dengan penyanyi terkenal tanah air seperti Sufian Suhaimi, Hael Husaini, Khai Bahar dan Syamel yang turut menjadi juri mengadili mereka sepanjang pertandingan.
Sesi ujibakat Cover Star Era telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live bermula pukul 2 petang tadi.
Terdahulu, peserta dikehendaki memuat naik video berdurasi satu minit di laman sosial Instagram menggunakan hashtag #CoverStarERA bagi membolehkan penyertaan mereka ditonton oleh para juri.
Cover Star Era ini menguji daya kreativiti peserta apabila mereka perlu memilih lagu dari senarai yang disediakan dan mempersembahkan lagu tersebut bersama alat-alat muzik pilihan mereka.
Teks oleh: Amri Hassan
Must-Watch Video