HIBURAN
#ThrowbackGempak2018: 10 Perkara Menarik Dunia Televisyen Tempatan
Dunia televisyen tempatan sememangnya tidak pernah sepi dengan program atau drama menarik.
Sepanjang 2018, penonton dan peminat dunia hiburan disajikan dengan pelbagai drama serta program televisyen yang menghangatkan lagi dunia hiburan tempatan.
Di sebalik program terbabit, ada juga kontroversi yang terpalit dan memanaskan lagi radar dunia seni.
Gempak senaraikan 10 perkara menarik berkaitan dunia televisyen tempatan yang berlaku sepanjang tahun 2018:
1. Lafazkan Kalimah Cintamu
Drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu lakonan Datuk Farid Kamil dan Nelydia Senrose yang bersiaran pada Januari menjadi drama yang hangat diperkatakan tahun ini.
Mendapat tempat ketiga dalam senarai carian utama Google Trend Malaysia 2018 dan tempat pertama carian Google Trend Malaysia 2018 kategori televisyen, drama bersiri ini diulit kontroversi gara-gara Farid yang didakwa terlibat dengan beberapa kes seperti mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis ketika drama bersiri ini sedang ditayangkan.

2. Pok Ya Cong Codei
Telefilem yang bersiaran di Astro Citra ini menambat hati ramai peminat. Ditayangkan pada 20 Januari, naskah arahan Sabri Yunus ini turut menampilkan Sabri selaku pelakon utama bersama Fikry Ibrahim, Uqasha Senrose, Mustapha Kamal dan ramai lagi.
Pok Ya Cong Codei mendapat sambutan luar biasa di kalangan rakyat Malaysia. Dialog yang ditampilkan dalam karya ini turut tular di laman sosial berikutan nilai mesej yang disampaikan dekat di hati rakyat Malaysia.
3. Tak Ada Cinta Sepertimu
Drama bersiri arahan Jamal Khan ini yang ditayangkan pada Mac menjadi ikutan ramai kerana lakonan bersahaja Syafiq Kyle dan Zahirah Macwilson.
Merupakan adaptasi novel karya novelis Anna Milia, drama bersiri ini mendapat tempat ketujuh dalam senarai carian Google Trend Malaysia 2018 kategori televisyen dan ramai penonton menggemari keserasian antara Syafiq dan Zahirah.

4. Mr Grey
Drama bersiri adaptasi novel tulis Syamnuriezmil yang bersiaran sekitar April ini menampilkan dua bakat baru, Fendy Bakry dan Eyra Hazali sebagai teraju utama.
Karya arahan Riza Baharuddin ini menjadikan nama Fendy dan Eyra semakin dikenali ramai. Drama ini juga popular dan mendapat tempat ke sembilan dalam senarai carian Google Trend Malaysia 2018 kategori televisyen.
5. Anugerah MeleTOP ERA 2018
Anugerah MeleTOP ERA 2018 (AME 2018) mencipta fenomena tersendiri. Menyaksikan gabungan Neelofa dan Nabil Ahmad selaku pengacara, AME 2018 turut menampilkan Sherry Alhadad dan Jihan Muse selaku pengacara bersama.
Disiarkan pada 8 April, salah sebuah video persembahan AME 2018 yang menampilkan koleksi lagu hit kumpulan Ruffedge berjaya menempatkan diri di tempat ke-10 Video Paling Trending Videos di YouTube Malaysia 2018!

6. Malaysia Memilih
Rangkaian program Malaysia Memilih bersempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) pada Mei lalu yang bersiaran di Astro Awani menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia untuk mendapat berita yang tepat, padat dan komprehensif.
Masakan tidak, carian berkenaan Astro Awani meraih tempat kedua dalam senarai carian utama Google Trend Malaysia 2018. Menerusi Malaysia Memilih, Astro Awani juga diumum sebagai pemenang bagi Malaysia dalam dua kategori anugerah Asian Academy Creative Awards (AAA) serta meriah Anugerah Perak pada Anugerah Media Digital Asia 2018.
7. Bini Aku Dari...
Ditayangkan pada 17 Jun, telefilem ini merupakan kesinambungan drama bersiri Girlfriend Aku Dari Neraka. Masih menampilkan gandingan Sharifah Sakinah dan Aiman Hakim Ridza selaku pelakon utama, naskah ini turut menampilkan Ungku Hariz, Fiza Thomas, Sharifah Shahora dan ramai lagi.
Telefilem ini turut menjadi bualan rakyat Malaysia kerana jalan ceritanya yang lucu. Malah, dialog "haaa... tepuk" yang diungkapkan oleh Sakinah juga menjadi trending di laman sosial serta ramai netizen yang melakukan parodi dengan menggunakan dialog terbabit!

8. Big Stage
Program realiti yang disiarkan bermula 5 Ogos di Astro Ria ini menjadi bualan ramai pihak. Biarpun baru sahaja diperkenalkan, Big Stage yang menampilkan Sherry Alhadad dan Alif Satar sebagai hos mempunyai peminat tersendiri.
Formula baru dalam menampilkan 10 bintang Budak Baru Nak Up (BBNU) ternyata menjadi. Biarpun tercetus beberapa kontroversi dan insiden seperti Baby Shima yang pengsan selepas persembahan dan penyingkiran Sissy Iman yang mendapat tentangan ramai peminat, Big Stage berjaya mencipta sejarah tersendiri dan ramai telah menantikan musim kedua program ini yang bakal bersiaran tahun hadapan.
9. Gegar Vaganza 5 (GV5)
Musim baru program realiti ini menampilkan pembaharuan dengan penyertaan penyanyi berkumpulan serta munculnya penaja baru selepas empat musim. Masih mengekalkan hos yang sama iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV5 masih lagi berbisa.
Perhatian semestinya tertumpu kepada penyertaan kumpulan seperti Elite dan Forteen, manakala kehadiran Zamani sebagai peserta menambahkan lagi kehangatan dalam musim terbaru Gegar Vaganza. Pastinya ramai yang masih ingat peristiwa Zamani yang kehilangan suara, perpecahan Forteen yang terjadi di episod akhir GV5 dan banyak lagi.

10. Isteri Bukan Untuk Disewa
Drama bersiri arahan Osman Ali ini hangat diperkatakan gara-gara tajuk asalnya, Isteri Untuk Disewa. Menimbulkan kekeliruan, hal ini juga turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman Facebook miliknya.
Menerima teguran terbabit, Osman menerima padangan Mufti Wilayah Persekutan dengan berlapang dada. Seterusnya, drama bersiri lakonan Fattah Amin dan Tiz Zaqyah ini ditukar tajuknya kepada Isteri Bukan Untuk Disewa.
Must-Watch Video