HIBURAN

#ThrowbackGempak2019: Ini 10 Perkara Menarik Dunia Televisyen Tempatan

Zulaikha Yusof 27/12/2019 | 02:14 MYT
Dunia televisyen tempatan sememangnya tidak pernah sepi dengan program atau drama menarik yang menjadi peneman.

Sepanjang tahun 2019, penonton dan peminat dunia hiburan disajikan dengan pelbagai drama serta program televisyen yang menghangatkan lagi dunia hiburan tempatan.

Gempak senaraikan 10 perkara menarik sepanjang tahun 2019 yang berkaitan dengan dunia televisyen tempatan:

1. Setelah Terlafaznya Akad

Drama bersiri Setelah Terlafaznya Akad lakonan Kamal Adli dan Uqasha Senrose yang bersiaran pada Jun menjadi drama yang hangat diperkatakan tahun ini.

Mendapat tempat pertama dalam carian Google Trend Malaysia 2019, drama ini telah berjaya meniti bibir peminat kerana keserasian lakonan antara Kamal dan Uqasha.



2. Curi-Curi Cinta

Curi-Curi Cinta adalah sebuah drama yang ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria mulai April 2019.

Drama ini merupakan adaptasi novel dengan tajuk yang sama karya penulis popular, Siti Rosmizah yang merupakan penulis novel 'bestseller' 7 Hari Mencintaiku dan Lafazkan Kalimah Cintamu yang masing-masing di adaptasi ke drama.

Curi-Curi Cinta mendapat tempat ketiga dalam senarai carian Google Trends Malaysia 2019 kategori televisyen dan ramai penonton menggemari keserasian antara Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson.

3. Anugerah MeleTOP ERA 2019

Anugerah MeleTOP ERA 2019 (AME 2019) mencipta fenomena tersendiri pada 21 April lalu.

Bertemakan 'Yang Legit Yang Legend', acara gilang gemilang itu dihoskan oleh tiga orang pengacara kegemaran ramai iaitu Neelofa, Nabil dan Jihan Muse.

Neelofa menerima sorakan apabila menari lagu Single Ladies yang dipopularkan oleh Beyonce. Nabil turut menarik perhatian ramai dengan tariannya manakala Jihan berjaya membuat penonton tertawa dengan persembahan parodi Konsert Siti Nurhaliza On Tour.



4. #AgongKita: Momen Istimewa

Secara eksklusif, Astro AWANI berpeluang mendekati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin selama hampir sejam dalam sesi wawancara khas bersempena dengan Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lalu.

Ashwad Ismail dan Cynthia Ng sempat bertanya beberapa soalan yang menjadi bahan bualan rakyat di media sosial.

Banyak cerita dibuka tentang bagaimana baginda sebenarnya dibesarkan sebagai anak kampung, minat baginda terhadap sukan dan istimewanya Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai suri hati baginda.

Tidak ketinggalan, topik-topik serius seperti definisi Raja yang ideal, peranan media sosial di mata baginda serta makna kemerdekaan yang sudah 62 tahun dikecapi.


5. Big Stage 2

Big Stage 2 kini kembali menggegarkan industri hiburan tanah air untuk musim yang kedua sekitar Ogos lalu.

Menariknya, ia menampilkan peserta-peserta dari luar negara yang terdiri daripada Indonesia, Korea Selatan, Thailand dan Brunei.

Big Stage masih menampilkan Sherry Alhadad dan Alif Satar sebagai hos yang mempunyai peminat tersendiri.

Penyanyi berasal dari Korea Selatan, Han Byul dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan empat peserta lain iaitu Neeta, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata.



6. Meletop

Pengacara Neelofa mengejutkan ramai apabila mengumumkan berundur dari rancangan hiburan popular MeleTOP pada 3 Disember lalu.

Pengumuman itu sekali gus menjawab spekulasi ramai selepas pengacara itu dikhabarkan bakal menarik diri selepas tujuh tahun bersama rancangan itu.



7. Gegar Vaganza 6

Gegar Vaganza bagi musim yang keenam bermula pada 13 Oktober itu menampilkan 13 peserta daripada Malaysia dan Singapura. Masih mengekalkan hos yang sama iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV6 masih lagi berbisa.

Melakar sejarah baharu, Naqiu Boboy dan Hady Mirza dinobatkan sebagai juara rancangan realiti hiburan popular GV6!

Disiarkan secara langsung pada 22 Disember, GV6 Akhir mendapat tempat pertama di YouTube Malaysia.



8. Suri Katriana

Drama Suri Katriana merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre melodrama berat. Drama ini mula ditayangkan pada 30 Oktober sehingga kini.

Drama bersiri sebanyak 49 episod ini menggandingkan ramai pelakon-pelakon hebat dari pelbagai latar antaranya pelakon baharu, berpengalaman dan ada di antara mereka yang sudah lama tidak membuat kemunculan di kaca TV atau layar perak.

Seramai lebih 30 pelakon antaranya adalah Ernie Zakri, Ummi Nazeera, Aishah Azman, Nadiya Nisaa, Ezzaty Abdullah, Zul Huzaimy, Nazim Othman, Hasnul Rahmat, Fadilah Mansor, Kazar Saisi, Zaidi Omar, Aisyah Atan, Eleena Sui, Ryzal Jaafar, Ku Zara Eryna, Dhia Arissa, Qhaira Imani dan ramai lagi.



9. Satukan Rasa

Ditayangkan pada 4 November, drama Satukan Rasa merupakan drama yang menggantikan drama Demi Rindumu di Slot MegaDrama di Astro Ria.

Buat pertama kalinya, drama ini menggandingkan Khai Bahar dan Siti Nordiana sebagai pelakon utama. Ia juga merupakan lakonan pertama Khai sebagai seorang pelakon.



10. Cemburu Seorang Perempuan

Drama adaptasi novel karya Siti Hazneza yang bersiaran sekitar Oktober ini menampilkan Amyra Rosli, Amar Baharin dan Emma Maembong sebagai teraju utama.

Cemburu Seorang Perempuan yang ditayangkan di slot DramaVaganza menjadi bualan ramai apabila drama ini berkisarkan poligami.

Drama ini juga popular dan mendapat tempat ke-10 dalam senarai carian Google Trend Malaysia 2018 kategori televisyen.

#ThrowbackGempak2019 #Dunia Televisyen Tempatan