Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Tiket Early Bird 'Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends' Mula Dijual Esok!

Kamaruddin Razal 24/04/2019 | 12:15 MYT
Siri animasi kanak-kanak popular, 'Didi & Friends' bakal mengadakan ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’, yang akan dibawakan secara ekslusif dan interaktif di Quill City Convention Center, Kuala Lumpur. Konsert berdurasi 65 minit itu akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula dari 15 sehingga 18 Ogos 2019.
Diumpamakan sebagai sebuah fenomena di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru, 'Didi & Friends' adalah produksi bersama Digital Durian dan Astro, dengan lebih daripada 1.8 juta pengikut dan 1.4 bilion tontonan di YouTube. ‘Didi & Friends’ berjaya memenangi hati peminat menerusi lagu-lagu menarik dan watak-watak comel yang begitu disayangi ramai seperti, ‘Didi’, ‘Nana’, ‘Jojo, ‘Pak Atan’ dan banyak lagi.
Berbeza dari konsert mini dan karnival yang dianjurkan oleh ‘Digital Durian’ sebelum ini, ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’ ini merupakan konsert ‘live’ pertama ‘Didi & Friends’ yang mempersembahkan lagu-lagu hit seperti ‘Semut Berkawad’, ‘BINGO’ dan lain-lain yang telah menerima jutaan tontonan melalui saluran YouTube ‘Didi & Friends’ dan juga lagu-lagu yang diberi nafas baharu.
Istimewanya untuk ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’ ini, ‘Didi & Friends’ akan mempersembahkan ‘Lagu Mandi’ dalam versi tarian yang dipanggil ‘Lagu Mandi Dance’, serta mencabar orang ramai untuk membuat tarian Lagu Mandi Dance dan memuat naik video tarian masing-masing di laman sosial media dengan tanda pagar (hashtag) #LaguMandiChallenge.
Muzik video Lagu Mandi Dance yang dijangka menemui peminat dalam jangka masa terdekat ini akan turut menyaksikan penglibatan barisan personaliti popular tanah air seperti Izzue Islam, Syatilla Melvin, Aqil Nahar dan Ara Aziz.
Animasi kartun Islamik, ‘Omar & Hana’ akan turut membuat penampilan istimewa di konsert ini kelak.
Dalam pada itu, buat julung kalinya juga, ‘Didi & Friends’ bakal bekerjasama dengan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk menampilkan penari-penari yang berpengalaman dan persembahan yang berkualiti tinggi.
Untuk memastikan Konsert yang dipersembahkan menepati kehendak dan memenuhi jangkaan peminat, Digital Durian akan menitikberatkan persiapan dari setiap aspek termasuklah dari segi kostum, peragaan pentas, visualisasi dan prop.
Antara tarikan yang akan dipersembahkan termasuklah maskot terbaharu Didi & Friends, barisan dram ASWARA, kumpulan Dikir Barat ASWARA, penari-penari profesional dan lagu-lagu hit yang diberi nafas baharu
Konsert ini merupakan konsert mesra keluarga dan sarat dengan elemen persembahan, lakonan dan tarian di atas pentas, di mana seluruh isi keluarga tanpa had umur akan dapat menikmati semua pengisian dan kandungan persembahan di dalam konsert ini.
Konsert ini pasti akan menjanjikan suatu pengalaman yang penuh kelainan berbanding apa yang disiarkan di kaca televisyen dan YouTube kerana anak-anak akan dapat berinteraksi dengan karakter, menyanyi dan menari bersama dalam satu suasana yang cukup meriah dan nyata seperti di alam animasi Didi & Friends.
Tiket ‘Early Bird’ boleh mula dibeli di www.DidiLive2019.com bermula pada esok (25 April 2019). Untuk promosi istimewa bagi pembeli terawal, para pembeli boleh menikmati harga tiket dengan pakej yang lebih rendah, terhad kepada 1,000 pembeli sahaja.
Untuk maklumat lanjut berkenaan segala informasi, harga serta pakej tiket yang tersedia dan info terkini mengenai ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’, sila ikuti platform media sosial rasmi Didi & Friends atau emel ke didiandfriends@digitaldurian.tv.
#Didi & Friends