Skip to main content

Budaya Popular

XPDC Komited Guna Pentas Persembahan Untuk Sebar Ilmu Kebaikan

untitled-design-2019-12-24t184438-419.jpg
Vokalis kumpulan XPDC Ali berhasrat untuk menyebarkan ilmu-ilmu positif menerusi persembahan pentas.
 
Bakal membuat persembahan di festival rock legenda Rockaway 2020, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 51, serta ahli kumpulan mahu menjadikan sebarang festival dan konsert sebagai medium membawa peminat ke arah kebaikan.
 
“Alhamdulillah, memang ini yang kami mahukan sebab disinilah kami akan bertemu dengan khalayak sasaran untuk kami sampaikan misi.
 
“Jadi kami akan menyelitkan lagu popular daripada album lama dan baharu tetapi lebih ke arah ketuhanan,” ujarnya kepada Gempak.
 
Ali ditemui ketika majlis sidang media Festival Rockaway 2020 yang diadakan di The Bee, Publika pada Khamis.
 
Tambah Ali lagi, biarpun dirinya berat memikul gelaran ustaz yang diberikan, itu tidak menghalang dirinya untuk berada dekat dengan peminat-peminat.
 
“Orang yang macam kita yang dah biasa dengan benda-benda macam inilah yang kena pergi kepada golongan-golongan ini.
 
“Siapa lagi yang nak menyampaikan nasihat, antara orang-orang itu adalah kita. Kita tak cakap kita bagus tapi inilah tanggungjawab kita untuk saling mengingatkan,” ujarnya lagi.
 
Festival Rockaway 2020 akan diadakan pada 14 hingga 15 Mac 2020 di kawasan letak kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil. 
 
Selain XPDC, artis solo dan kumpulan yang akan membuat persembahan pada Rockaway 2020 adalah Datuk M Nasir, Hujan, Kugiran Masdo, Project E.A.R dan Toko Kilat.

Advertisement

Must-Watch Video