SUKAN
Tunjuk Belang, Suntik Semangat Menjelang Sukan SEA – Ganding Malique, Monoloque & Azlan And The Typewriter
Sempena menyambut Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 ( KL 2017), lagu tema kedua temasya berjudul Tunjuk Belang telah dilancarkan pada 1 Ogos lalu.
Lagu berdurasi empat minit itu ditulis dan diterbitkan oleh Monoloque yang turut bertindak sebagai penyanyi.
Tunjuk Belang turut menampilkan penyanyi popular Azlan And The Typewriter dan rapper terkenal Malique yang menyumbang lirik pada elemen rap lagu tersebut.
Rakaman video muzik tersebut juga memaparkan beberapa aksi menarik antaranya penggambaran di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan juga petikan video aksi kemenangan atlet negara seperti Ziyad Zolkefli, Latif Romly, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang.
Lagu ini juga merupakan lagu kedua yang dilancarkan daripada tiga lagu rasmi KL 2017 dan lagu terakhir iaitu yang dinyanyikan Dayang Nurfaizah pula mula dilancarkan esok.
Tunjuk Belang sudah ditonton lebih 100 ribu kali sejak ia dilancarkan di laman YouTube Rasmi KL2017.
Kesemua lagu tema bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN adalah terbitan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc).
Pelancaran lagu ini adalah untuk menyemarakkan lagi sambutan KL 2017 dan menebalkan semangat bangkit bersama di kalangan masyarakat menjelang temasya Sukan SEA ke-29 tidak lama lagi.
KL 2017 bakal membuka tirainya pada 19 sehingga 30 Ogos bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September, bagi Sukan Para ASEAN.
Must-Watch Video