Projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dibangunkan kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya disiapkan lebih awal dari perancangan dan ia membuka akses internet berkelajuan tinggi atau high speed broadband (HSBB) di 1,100 kediaman di Jasin, Melaka.

Penduduk di Kuarters Polis Jasin, Taman Merbau Perdana, Taman Maju dan Felda Kemendor kini dapat menikmati kelajuan internet setaraf negara maju mencecah 1 gigabit sesaat (1Gbps) pada harga berpatutan.

Difahamkan, Jasin dipilih kerana beberapa perkara, termasuklah kerana berada di kawasan zon pinggir bandar serta penempatan yang pelbagai.

Ia membolehkan pihak TNB menguji pelbagai senario berbeza dalam projek rintis terbabit untuk membuat keputusan lanjut mengenainya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, projek ini penting untuk menilai aspek teknikal, keselamatan, dan keboleharapan komersial NFCP.

"Kerajaan dan TNB akan melihat secara keseluruhan hasil projek rintis ini untuk membuat pertimbangan mengenai kemungkinan melaksanakannya pada skala lebih besar di seluruh negara," katanya.

Gobind ditemui di majlis pelancaran Projek rintis bagi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Jasin pagi tadi.

Turut hadir ialah Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee dan Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.

Penduduk Jasin di tiga kawasan projek rintis ini boleh melanggan pakej perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan lapan Penyedia Perkhidmatan Runcit (Retail Service Providers) termasuklah Astro.

BACA: Penduduk Jasin Boleh Nikmati Internet 50Mbps Bersama Family Pack Untuk RM99 Sebulan Menerusi Astro Broadband Bundle

Foto: Astro Awani