“1 Oven Hanya Untuk…” - Back-up Guna Kontena, Peti Simpan Mayat Dah Tak Cukup? Allahu Akbar!
10/06/2021 23:34 MYT
Biarpun pernah merekodkan angka sifar bagi kes harian Covid-19, siapa sangka kadar kematian akibat virus itu semakin tinggi di Malaysia.
Buktinya, semalam saja Malaysia mencatatkan 73 kes kematian.
Namun, apa yang lebih membimbangkan, peti simpanan mayat sedia ada kini dikatakan tidak mencukupi.
Menurut Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmah Arshad, mangsa kematian kini diletakkan di dalam kontena yang boleh memuatkan antara 12 hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter (20 kaki) sementara menunggu giliran untuk diuruskan.
Menurutnya, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) mempunyai 36 peti simpanan mayat, namun pihaknya memantau atau mempunyai tempat simpanan lain contohnya 10 peti di Hospital Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ada empat, dua di Institut Kanser Negara.
“Jumlahnya 52 peti simpanan mayat dan kita ada back-up kontena untuk menyimpan mayat.
"Bagi mayat yang dibakar, ia bergantung kepada krematorium. Untuk di Lembah Klang ada satu sahaja lokasi iaitu yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Satu oven hanya untuk satu mayat. DBKL juga memberi khidmat pembakaran mayat bukan Covid-19 jadi terpaksa menunggu giliran," katanya kepada Bernama.
Menurut Dr Salmah, bagi mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu dikebumi atau dibakar dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa dua hingga tiga jam berbanding kes bukan Covid-19 iaitu 45 minit hingga sejam.
“Peningkatan jumlah kematian di rumah atau brought-in-dead (BID) melibatkan wabak berkenaan semakin merunsingkan.
"Gelombang ketiga kita tak dapat jangka sebab tak mengira usia, ada yang muda dan berusia.
“Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah umur 20-an dan tiada penyakit.
“Kini semua kena berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana semua boleh terdedah serta mati kerana Covid-19," katanya.
Sumber & Gambar : Bernama