"10 Papan Telur, 12 Kampit 10KG Beras! Apa Ni Semua Panic Buying?" - Michael Ang Hairan Ramai Bertindak Tak Rasional

ZULHILMI JALIL
Mac 17, 2020 06:42 MYT

Sejak petang semalam, penuh dan sesak pasaraya dan kedai runcit apabila menjadi tumpuan orang ramai gara-gara bimbang sekiranya wujudnya arahan perintah berkurung, biarpun tiada sebarang pengumuman dibuat lagi ketika itu.

Perkara itu turut dilalui sendiri pengarah dan penerbit Michael Ang apabila terpaksa berhadapan dengan situasi orang ramai yang membuat pembelian panik ketika berkunjung ketika sebuah pasar raya.
Menurut Michael, keadaan itu secara tidak langsung menyukarkan dirinya yang terpaksa bersesak dengan orang ramai ketika hanya mahu keluar membeli bahan masakan harian.
Bahkan, dia menyifatkan tindakan orang ramai tersebut sebagai satu perbuatan yang tidak rasional yang perlu dielakkan.
"Salam semua! Apa ni semua panic buying (pembelian panik). Pergi pasar raya nak beli benda untuk masak makan malam. Mak oiiiii semua tengah buat pembelian panik!
"Seriuslah mamat tu sekurang-kurangnya 10 papan telur, nak berkurung ke? Seriuslah!!! Fikirlah rasional! Lock down tu orang tak boleh keluar negara, orang luar tak boleh masuk Malaysia! Bukan kau orang tak boleh ke mana-mana dan pasar atau pasar raya tutup," luahnya menerusi satu entri di Instagram.

Perkongsian status Michael itu kemudian mengundang pelbagai respons dalam kalangan netizen yang bersetuju dengan apa yang diperkatakannya.
"Kenapalah orang tak boleh fikir macam ni ye Mike. Saya keliru. Semua panik salah satu sebabnya banyak sangat grup WhatsApp kongsi berita palsu. Tolong hentikan penyebaran berita palsu," komen pelakon Idzham Ismail.
Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini.
Bagaimanapun, dalam perintah tersebut, kesemua sektor perkhidmatan asas termasuklah pasar raya akan beroperasi seperti biasa bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan bahan mentah.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Michael Ang #COVID-19 #Pembelian Panik