“10 Tahun Bibik Dengan Saya…” - Umpama Hilang Sahabat Sejati, Datin Shahida Menangis Lepaskan Maid
Isteri kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid tidak dapat menahan sebak apabila pembantu rumah kesayangannya membuat keputusan untuk pulang ke Indonesia.
Shahida berkongsi isi hatinya menerusi coretan di akaun Instagram yang disertakan dengan video pendek.
Video tersebut merakamkan Shahida dan pembantu rumah berpelukan sambil menangis teresak-esak sebelum berpisah.
Menurut Shahida, pembantu rumahnya itu telah berkhidmat selama 10 tahun dan sudah dianggap seperti keluarga sendiri.
“Hilang sahabat sejati saya… Yang mendengar keluh kesah saya… Yang mendengar setiap luahan, gembira, bahagia dan tangisan saya…
“10 tahun bibik dengan saya, banyak suka duka kami. Semoga bibik bahagia dengan keluarga. Kita sedih tapi itulah adat hidup bertemu dan berpisah,” coretnya.
Dalam pada itu, di ruangan komen rata-rata pengikutnya mendoakan kesejahteraan pembantu rumahnya yang banyak berjasa kepada keluarga Shahida.