Setiap orang mempunyai cara tersendiri berkongsi kegembiraan, begitu juga dengan penerbit dan aktres Datuk Rafiena Ezanee yang memilih untuk meraikan ulangtahun ke-10 Darkwaves Pictures dengan 26 anak yatim dari Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar, Perak.

26 anak yatim berusia di antara 13 hingga 17 tahun yang juga merupakan anak angkat Darkwaves Pictures itu telah diraikan selama selama tiga hari dua malam menerusi program bina semangat di taman tema Lost World of Tambun, Ipoh, Perak, 15 September lalu yang turut disertai pelakon, Raja Ilya.

Rafiena ketika ditemui Astro Gempak berkata, dia teruja dapat menyambut ulangtahun ke-10 syarikat produksi miliknya bersama anak-anak Madrasah Idrisiah.



“Tidak ada salahnya kita berkongsi rezeki dengan insan-insan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim ini, asalkan niat tersebut ikhlas dan saya pula hanya mahu melihat mereka mengukir senyuman.

“Lagipun, tahu yang doa anak-anak yatim ini lebih mudah ‘sampai’ pada-Nya. Kalau niat kita betul, dan tidak pergunakan mereka untuk kepentingan diri, Insya-Allah, semuanya dipermudahkan.

“Saya bersyukur kerana program kami berjalan lancar seperti yang dirancang walaupun inilah pertama kali ia berlangsung di luar Kuala Lumpur.



“Untuk masa akan datang, pihak Darkwaves Pictures juga sudah merancang beberapa bentuk bantuan berterusan kepada Madrasah Idrisiah,” katanya.

Program yang berlangsung tiga hari dua malam itu bermula dengan akvitiviti Ice Breaking, tazkirah santai daripada PU Yeop, Night Jungle Walk & Limestone Strail, 6th Mile Tunnel, Cabaran XXX dan Zip Line.

Tambah Rafiena lagi, sambutan ulangtahun syarikat produksi miliknya kali ini adalah yang paling bermakna kerana dia sudah lama bernazar untuk mengagihkan pulangan diperoleh kepada golongan lebih memerlukan.

Lagi pula, pesanan bapanya, Ramli Othman, supaya menghargai insan lain sentiasa dipegang.

“Bapa saya seorang yang tegas tetapi dia sangat penyayang. Kami adik-beradik memang tidak pernah dimewah-mewahkan sejak kecil dan diajar untuk berusaha keras jika mahukan sesuatu.



“Dalam garang-garang bapa saya ni, masa kecil dahulu saya selalu tengok dia bagi gula-gula dan coklat kepada kanak-kanak lain. Kadang-kadang dia beri duit. Dari situ saya mula terfikir yang rezeki Allah bagi itu, lebih bermakna jika dikongsi,” ujarnya.

Selain anak-anak yatim, penerima Selempang Tokoh Srikandi Tun Puteh oleh Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi ini turut memberi perhatian kepada golongan ibu tunggal.

“Bersama ibu tunggal, anak syarikat kami, House of Dre baru-baru ini ada menganjurkan sesi motivasi dan turut menjalankan 10 sesi kelas untuk membantu ibu tunggal yang berminat memulakan bisnes," katanya.

Sementara itu, program bersama anak-anak yatim yang berlangsung ini turut menjalani sesi penggambaran bagi meneruskan program majalah, Jejak Seribu Kaki untuk musim kedua.

Untuk edisi kedua ini, Darkwave Pictures memilih pelakon Raja Ilya sebagai percubaan untuk membawa program terbabit kepada pihak stesen televisyen.

Dalam perkembangan lain, program terbitan Darkwaves Pictures yang sedang ditayangkan ialah, ExpeRIAnce: Curi Curi Cuti sebanyak 13 episod di Astro Ria.

Rancangan tersebut memberi peluang buat peminat setia artis untuk bercuti bersama bintang kesayangan mereka.

Foto: Azrul Rafie