Laman Utama

10 Terkorban Pesawat Terhempas Dua Minit Sebelum Mendarat, Ini Tragedi Pesawat Dalam Sejarah Malaysia

gempak
Maliah Surip
18/08/2023
00:45 MYT
Sponsor Banner
10 Terkorban Pesawat Terhempas Dua Minit Sebelum Mendarat, Ini Tragedi Pesawat Dalam Sejarah Malaysia
Hari ini merupakan hari ‘hitam’ dan duka buat seluruh rakyat Malaysia selepas sebuah pesawat ringan dengan dua krew penerbangan dan enam penumpang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan lapan penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV itu meninggal dunia dalam tragedi tersebut.
Turut maut adalah pengguna jalan raya yang terbabit dalam tragedi yang berlaku pukul 2.48 petang yang menjadi tular di media sosial.
BACA: Tragedi Pesawat Terhempas: Penunggang Motosikal Sempat Jerit Allahuakbar
BACA: Pesawat Ringan Terhempas Di Elmina Shah Alam, Ada Mangsa Dikhuatiri Maut?
BACA: Video Dashcam Kereta, CCTV Rumah Jadi ‘Saksi’ Tragedi Pesawat Terhempas Di Elmina
Menerusi kenyataan yang diberikan Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis (CP) Datuk Hussein Omar Khan, pesawat tersebut terhempas dua minit sebelum jadual mendarat, iaitu pukul 2.50 petang, 17 Ogos 2023.
Kesemua 10 mangsa yang meninggal dunia disahkan sebagai lelaki.
Selain tragedi terbaharu ini, ada beberapa kisah pesawat Malaysia yang terhempas lalu mengorbankan banyak nyawa dalam sejarah penerbangan negara.
Salam takziah buat keluarga dan semoga semua yang terkorban tenang di sana.

Rampasan Pesawat Tanjung Kupang

Seramai 93 penumpang bersama 7 anak kapal terbunuh serta merta selepas pesawat jenis Boeing 737-2H6 terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977.
Ia merupakan kemalangan pertama dan maut buat Malaysia Airlines menerusi penerbangan 653.
Mengikut kronologi kes, penerbangan 653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Landasan 22 menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah).
Namun pesawat yang turut dinaiki Menteri Pertanian Malaysia, Dato' Ali Haji Ahmad;Pengarah Jabatan Kerja Raya Dato' Mahfuz Khalid; dan Duta Besar Cuba ke Malaysia itu dilaporkan telah dirampas dan tidak mendarat di destinasi sepatutnya iaitu Subang.
Pesawat tersebut dirampas dan dipaksa menuju ke Singapura namun terhempas di kawasan paya bakau di Tanjung Kupang pada pukul 8.15 malam.
Tapak Peringatan Nahas tersebut terletak di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, Johor, Malaysia. Ianya dikenali sebagai Taman Peringatan Tanjung Kupang dan didirikan oleh Kerajaan Negeri Johor pada 8 Disember 1977, 4 hari selepas nahas.

MH17 Ditembak Jatuh Di Ukraine

Pada 17 Julai 2014, dunia dikejutkan dengan berita pesawat MH17 milik Malaysia Airlines (MAS) ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Tragedi tersebut menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur terbunuh.
Selain itu terdapat rakyat Malaysia, Australia, Britain dan Australia berada dalam penerbangan sama.
Menerusi laporan sebelumnya, warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, dituduh bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
Mereka didakwa menggunakan peluru berpandu BUK dipercayai dimiliki Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat tentera Russia yang berpangkalan di Kursk, terletak berhampiran sempadan Ukraine untuk menembak jatuh MH17.

Helikopter Dinaiki Tan Sri Jamaluddin Jarjis Terhempas

Kecuaian juruterbang dikenal pasti menjadi antara punca nahas helikopter di Semenyih, yang mengorbankan enam nyawa, termasuk Ahli Parlimen Rompin pada waktu itu, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, pada 4 April 2015.
Helikopter awam itu dilaporkan terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang dipercayai ketika hujan dan angin kencang.
Selain Alllahyarham Jamaluddin, turut terkorban ialah ketua setiausaha sulit di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias, juruterbang Kapten Clifford William Fournier, pembantu operasi Aidana Baizieva, pengawal peribadi Razakan B Seran, dan ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang.

Helikopter NURI terhempas di Genting Sempah

Nahas pesawat paling bersejarah negara turut menyaksikan tragedi Helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang terjadi pada hari Jumaat, 13 Julai 2007.
Tragedi menyayat hati itu telah mengorban enam anggota apabila helikopter tersebut terhempas berdekatan Terowong Genting Sempah, Genting Highlands, Pahang.
Menurut fakta, helikopter tersebut dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Sungai Besi menuju Pangkalan Udara Kuantan, Pahang. Helikopter keluaran Sikorsky itu dilaporkan hilang pada jam 9.15 pagi, kira-kira 10 minit selepas berlepas.
Bangkai pesawat ditemui lima hari selepas terhempas dan kesemua mangsa yang terkorban di dalamnya di kawasan lembah di Kaki Gunung Bunga Buah.
Kesemua mangsa yang meninggal dunia adalah Juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, Pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, Sarjan Khusnizaim Ariffin (kuartermaster udara), Sarjan Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad.
( Sumber; Wikipedia, BERNAMA, Berita Harian, AWANI)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live