Pelakon dan penyanyi Datuk Awie mengakui tidak gentar jika filem pertama pertama terbitan syarikatnya, Rumah Produksi Merah Sdn Bhd berjudul 10 Tips Tipu Bini menjadi sasaran ‘Youtuber pengkritik filem’.

Awie berkata, dia tidak takut dihentam golongan tersenut kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang filem tetapi berlagak seperti tahu segalanya.

“Dah lama saya perhatikan, konon-konon nak buat reviu tetapi sebenarnya knowledge tentang filem tak ada pun.

"Mereka ni ‘acah-acah’ tahu. Cara mereka menghentam tu macam dah pernah buat 100 filem. Jadi perlu ke kita layankan orang yang begitu.

“Saya hormat jika orang yang mengkritik itu memberi kritikan membina bukan menjahanamkan,” katanya pada sidang media filem tersebut di MaTiC, Jalan Ampang baru-baru ini.

Mengulas mengenai naskah tersebut, Awie berkata 10 Tips Tipu Bini merupakan filem pertamanya yang diinspirasikan menerusi kisah teman-tema sekeliling.

Katanya 10 Tips Bini merupakan sebuah filem yang menyajikan komedi ringan, tetapi isu yang diangkat adalah hakikat sebenar yang terjadi.

“Saya harap filem ini boleh memberi hiburan kepada penonton walau hanya duduk di rumah. 10 Tips Tipu Bini adalah kisah komedi ringan, tetapi tak dinafikan isu tipu bini ini memang berlaku.

“Macam susah nak dibincangkan dan mungkin sensitif buat sesetengah kaum hawa tetapi hakikatnya itulah yang berlaku.

“Suami tipu bini itu memang berlaku, jadi cara-cara menipu itu ada dalam filem ini. Jangan salah faham, tetapi ambillah yang positif.

“Cerita ini adalah untuk hiburan semata-mata. Untuk kaum hawa pula mungkin boleh jadikan filem ini sebagai rujukan,” katanya ketawa.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro sentiasa memberi sokongan padu buat produksi baru dengan membawakan filem mereka terus kepada penonton di luar sana.

“Filem ini merupakan hasil terbitan pertama oleh Rumah Produksi Merah, jadi pihak kami dengan rasa berbesar hati dan bertanggungjawab untuk memberi sokongan padu buat produksi baru dengan membawakan filem mereka terus kepada penonton di luar sana.

“Dengan adanya platform Astro First, kami harap ia mampu menyuntik semangat buat penerbit dan pengkarya di luar sana untuk terus rancak menghasilkan konten-konten terbaik buat penonton serta industri filem tempatan,” katanya.

10 Tips Tipu Bini diarahkan oleh Azizi ‘Chunk’ Adnan, manakala skrip ditulis oleh Armada Al Haq bakal menemui penonton di Astro First saluran 480 mulai 7 Januari 2021.

Filem genre komedi ini menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air yang akan mencuit hati penonton dengan karakter dan komedi mereka yang bersahaja.

Lebih menarik, ia juga merupakan kali pertama di dalam sebuah karya menghimpunkan Khir Rahman, Ropie, Joey Daud, Vicha, Jehan Miskin, Nasir Bilal Khan, Atu Zero, Azlee Senario, Nazia Mustafar dan ramai lagi.