Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik COVID-19 semakin cepat tersebar dengan lebih 300,000 kes dicatat kini, lapor AWANI.

Jangkitan yang pada mulanya mengambil masa 67 hari untuk mencapai 100,000 kes pertama cuma mengambil masa 11 hari untuk 100,000 seterusnya dan hanya empat hari untuk 100,000 kes selanjutnya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun berkata masih belum terlewat untuk dunia mengubah trajektori itu.

Dr Tedros turut meminta orang ramai agar tinggal di rumah dan mengikuti langkah-langkah penjarakan sosial sebagai usaha membendung virus itu.

Dalam pada itu, Tedros juga menggesa negara dunia menggunakan ujian ketat dan strategi menjejaki kontak.

Tedros berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino sempena kempen "Tumpaskan COVID-19."

Tambah Tedros, ketika memberi analogi perlawanan bola sepak, langkah 'bertahan' yang diambil dunia sekarang tidak akan membantu untuk memberikan 'kemenangan'.

"Apa yang paling penting ialah apa yang dilakukan, anda tidak boleh memenangi perlawanan bola sepak dengan mempertahankan diri, anda mesti menyerang."

"Untuk menang, kita perlu menyerang virus dengan taktik yang agresif dan disasarkan - menguji setiap kes yang disyaki, mengasingkan dan menjaga setiap kes yang disahkan serta mengejar dan menjarakkan setiap pertemuan," katanya.

Sumber : Astro AWANI