Selepas berjaya mencipta rekod di Malaysia Books of Records (MBOR) pada tahun lalu, jenama membeli nombor satu negara, Star Vendors bakal mencipta satu lagi sejarah di Guiness World Book (GWB) pada Ramadan tahun ini.

Ini kerana, Star Vendors bakal mengadakan jualan bersempena sambutan hari raya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pada 13 hingga 17 April depan selama 100 jam tanpa henti.

Cipta Guiness World Book

Ketua Pengarah Eksekutif yang juga artis versatil, Datuk Ifa Raziah berkata pihaknya ingin terus meraih kejayaan dengan mencipta satu lagi rekod baharu pada edisi kali ini.

“Selepas berjaya pegang rekod Malaysia nombor satu, sudah pasti kali ini ingin pergi lebih tinggi iaitu ke tahap dunia. Kami dah semak dengan pihak GWB tiada lagi rekod untuk festival raya yang macam kami ingin lakukan ini.

“Malah wakil mereka yang berada di United State akan datang ke Malaysia pada hari kejadian untuk mereka pantau acara tersebut selama 100 jam nanti. Kemudian mereka akan menentukan layak atau tidak,” ujarnya kepada Gempak ketika ditemui pada majlis sidang media Star Vendors KLCC Mega Raya pada Khamis.

Menariknya pada edisi kali ini, selain mengadakan jualan selama 100 jam. Star Vendors juga bakal membawakan lebih 100 selebriti dan RM100,000 duit raya yang bakal diberikan kepada pengunjung.

Idea sekilas lalu

Ditanya mengenai idea untuk mengadakan jualan selama 100 jam, Ifa atau nama lengkapnya Saripah Raziah Mustapha, 47, berkata ia datang secara tidak sengaja dan disifatkan sebagai ilham yang diberikan Tuhan.

“Idea untuk buat 100 jam pada kali ini macam sekilas lalu sahaja sebenarnya, Allah beri pada saya. Kalau tahun lepas 75 jam itu penatnya saya dah rasa dan lalui. Sampai suara saya hilang lah waktu itu, ke sana ke sini sibuknya.

“Jadi mengapa tidak kali ini saya mencabar diri saya dan mencabar semua team saya. Tambah beberapa jam sahaja daripada rekod lama. Jadi saya kata pada mereka, mari kita cuba. Iya lah kalau belum cuba mana nak dapat tahu kemampuan kita,” tambahnya.

A post shared by Ifa Raziah (@ifa_raziah)

KLCC rumah baharu

Dalam pada itu, Ifa akui bersyukur apabila pihak Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sudi menawarkan lokasi kepada Star Vendors untuk mengadakan acara tersebut.

“Star Vendors ini menjaga eksklusif dan ingin kekal nombor satu, ketika di rumah (lokasi) lama, banyak sangat event yang seakan kami. Dalam perjanjian dengan pihak rumah lama dah ada hak eksklusif itu, mereka bawa orang lain masuk. Saya tak mahu gaduh, saya yang mengundur.

“Tetapi dengan rezeki Allah, saya menerima tawaran daripada pihak KLCC untuk beri peluang dan ruang kepada Star Vendors untuk masuk buat event di KLCC pada bulan Ramadan. Ini ibarat rezeki terpijak buat saya, sampai menangis saya.

“Siapa sangkakan, dalam pada nak redakan hati yang tengah marah disebabkan isu di rumah lama itu, rezeki tak salah alamat daripada Allah. Ini juga merupakan event sebegini yang pertama kali diadakan di KLCC,” ujarnya lagi.

A post shared by STARVENDORS EVENT™️ (@starvendors)

Sasaran urus niaga 1 Billion

Selain itu, pelantun lagu Miss Diva itu turut mengharapkan sasaran urus niaga pada tahun ini sebanyak RM1 Billion.

“Sasaran untuk tahun ini sudah pasti ingin melebihi sasaran tahun lepas. Tahun lalu 2.6 juta pengunjung, jadi tahun ini saya target 3 juta yang akan hadir. Selain itu untuk jumlah transaksi urusniaga jualan pula, jika tahun lalu RM800 juta dan tahun ini target saya RM1 billion,” ujarnya lagi.