HIBURAN
11 Lagu Masih Dalam 'Simpanan' SRC, Siti Nurhaliza Terbuka Berbincang - “‘Win-Win Situation’ Kena Ada”
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut baik hasrat Suria Records (SRC) untuk menerbitkan semula 11 lagu yang pernah dirakamkan bersama syarikat itu.
Sedia Duduk Berbincang
Jelas Siti, perbincangan bersama perlu diadakan terlebih dahulu agar memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Dalam rakaman-rakaman saya bersama SRC sebelum ini, kita memang rekod lebih cuma selepas saya keluar SRC, saya bergerak di bawah naungan syarikat saya sendiri jadi kita sudah tidak bercakap soal itu.
“Jadi bila saya baca balik berita mengenai perkara ini di media sosial, saya akui memang ada lagi lagu saya di SRC cuma kami belum ada perbincangan dengan lebih terperinci mengenai perancangan untuk mengeluarkan lagu-lagu itu. SRC pun sudah seperti keluarga saya, kita boleh duduk berbincang lebih baik.
“Kalau perancangannya bagus, mengapa tidak. Saya melihat juga apa kebaikan yang boleh diberikan kepada kedua-dua belah pihak. ‘Win-win situation’ itu kena ada,” katanya kepada Gempak.
Siti ditemui pada majlis pelancangan lagu runut bunyi dan muzik video bagi filem Telaga Suriram berjudul Sesal di Pusat Dagangan Dunia, di sini, petang tadi.
Sibuk Siapkan Album Tradisional
Siti menjelaskan bahawa 11 lagu yang belum pernah diterbitkan, termasuk ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan dirakam ketika beliau bersama SRC dalam pelbagai genre seperti balada dan tradisional, memerlukan masa untuk dirakamkan semula.
Justeru perancangan yang rapi amat penting memandangkan beliau kini sedang menyiapkan album tradisional.
“Dalam tahun ini saya memang ada perancangan untuk keluarkan album tradisional dan kita sudah mulakan prosesnya. Jadi saya mesti kena siapkan sebab ia di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL), dan kami dapat dana dari MyCreative Ventures Sdn Bhd.
“Jadi saya kena ikut jadual yang ditetapkan, dan saya kena siapkan juga album tradisional itu. Sebelum Disember ini saya kena lancarkan juga dan saya pun ada konsert juga dan sebagainya. Tapi kita boleh berbincang,” katanya.
Terbuka Jika Penyanyi Lain Rakam Semula
Sementara itu, Siti turut terbuka sekiranya pihak SRC mahu memberikan lagu-lagu itu kepada penyanyi lain.
“Sudah tentu boleh kalau artis lain nak merakamkan lagu itu. Saya tiada halangan sebab ia hak SRC, kalau dia nak bagi artis nyanyi, tiada masalah sebab ia bukan kawalan saya,” katanya.
Terdahulu, SRC menyatakan pihaknya tidak menolak kemungkinan mengeluarkan baki lagu yang pernah dirakamkan Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika masih bernaung dengan label berkenaan.
Pengarah Urusan SRC, Edwin Tan berkata, dia perlu terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Siti sebelum keputusan dibuat.
Edwin yang ditemui pada majlis Raya Twist Media Gathering by Suria Records di Cheras Perdana, baru-baru ini berkata pihaknya perlu terlebih dahulu meminta kebenaran daripada Siti sebelum keputusan dibuat.
Sejak mula menyertai SRC selepas menjuarai Bintang HMI 1995, pemenang trofi Anugerah Seri Perak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 itu sudah menghasilkan 11 album studio.
Album terakhir Siti bersama SRC, Prasasti Seni diterbitkan pada 2004.
Selepas kontrak bersama SRC tamat pada 2006, semua album pemilik vokal emas itu diterbitkan syarikatnya sendiri, Siti Nurhaliza Productions (SNP).
Must-Watch Video