11 Lagu Masih Dalam 'Simpanan' SRC, Siti Nurhaliza Terbuka Berbincang - “‘Win-Win Situation’ Kena Ada”
Sedia Duduk Berbincang
Jelas Siti, perbincangan bersama perlu diadakan terlebih dahulu agar memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Jadi bila saya baca balik berita mengenai perkara ini di media sosial, saya akui memang ada lagi lagu saya di SRC cuma kami belum ada perbincangan dengan lebih terperinci mengenai perancangan untuk mengeluarkan lagu-lagu itu. SRC pun sudah seperti keluarga saya, kita boleh duduk berbincang lebih baik.
“Kalau perancangannya bagus, mengapa tidak. Saya melihat juga apa kebaikan yang boleh diberikan kepada kedua-dua belah pihak. ‘Win-win situation’ itu kena ada,” katanya kepada Gempak.
Siti ditemui pada majlis pelancangan lagu runut bunyi dan muzik video bagi filem Telaga Suriram berjudul Sesal di Pusat Dagangan Dunia, di sini, petang tadi.
Sibuk Siapkan Album Tradisional
Siti menjelaskan bahawa 11 lagu yang belum pernah diterbitkan, termasuk ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan dirakam ketika beliau bersama SRC dalam pelbagai genre seperti balada dan tradisional, memerlukan masa untuk dirakamkan semula.
“Dalam tahun ini saya memang ada perancangan untuk keluarkan album tradisional dan kita sudah mulakan prosesnya. Jadi saya mesti kena siapkan sebab ia di bawah Siti Nurhaliza Legacy (SNL), dan kami dapat dana dari MyCreative Ventures Sdn Bhd.
“Jadi saya kena ikut jadual yang ditetapkan, dan saya kena siapkan juga album tradisional itu. Sebelum Disember ini saya kena lancarkan juga dan saya pun ada konsert juga dan sebagainya. Tapi kita boleh berbincang,” katanya.
Terbuka Jika Penyanyi Lain Rakam Semula
Sementara itu, Siti turut terbuka sekiranya pihak SRC mahu memberikan lagu-lagu itu kepada penyanyi lain.