Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

11 Tahun Kahwin Belum Dikurniakan Zuriat, Anas Tahir Balas Soalan Tentang Anak Dengan Cerita Kisah Nabi

Syafiqah Jalal
22/04/2023 03:40 MYT
Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga mereka.

Begitu juga dengan pengacara radio Zayan, Anas Tahir bersama isterinya yang masih menanti zuriat sudah 11 tahun.

Sentiasa berfikiran positif dan hadapi ujian tersebut dengan tenang, Anas memberitahu dia tidak terasa jika soalan tentang anak diajukan kepadanya malah hanya menjawab dengan berseloroh.

Bukan itu sahaja adik kepada penyanyi Faizal Tahir ini juga memberitahu kebiasaannya dia akan membalas pertanyaan itu dengan menceritakan kisah Nabi yang berkaitan.

Ikuti kisah Syawal Anas dan isteri tahun ini yang masih beraya berdua serta kenangan raya bersama Faizal Tahir.

1. Belum dikurniakan rezeki untuk beraya bersama cahaya mata. Apakah harapan Anas pada Raya kali ini?

Saya berharap dan terus berdoa agar Allah berikan dan tambahkan kebahagiaan kepada saya sekeluarga, terutamanya dalam rumah tangga saya. Terjalin hubungan yang baik bersama sesiapa pun yang bersahabat dengan saya dan ditingkatkan kefahaman dalam ilmu Dia. Bila semakin berumur ni, kita sepatutnya lebih faham apa erti kehidupan. InshaAllah, banyak perkara baik akan berlaku dalam kehidupan kita.

2. Bagaimana sambutan hari raya Anas setiap tahun? apakah rutin yang selalu dilakukan selepas berumah tangga?

Alhamdulillah, saya seorang yang simple. Sambutan hari raya pun lebih kepada membahagiakan isteri di pagi raya. Kalau diikutkan, rutin selepas 11 tahun berumah tangga ni, tiada yang berubah dan lebih kepada membantu isteri mengemas rumah dan menyediakan juadah hari raya seperti pasangan yang lain.

3. Bagaimana hendak mengelak atau berlapang dada dengan soalan orang terutama yang lebih tua apabila bertanya soal anak?

Baik, berkenaan soalan belum dikurniakan cahaya mata. Saya mewakili pasangan yang serupa dan berada dalam situasi yang sama. Bagi saya, Allah lebih mengetahui mengapa kami masih belum dikurniakan cahaya mata. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kehidupan sekarang. Mungkin secara luaran saya kelihatan bersedia untuk menerima amanah dari Allah, tapi saya selalu pujuk hati dan berkata, apa pun nikmat yang diberi Allah kepada saya pada ketika ini, dikira amanah buat saya.

Jika orang yang lebih dewasa bertanyakan soalan tentang anak, saya tidak mudah terasa dan mungkin disebabkan saya suka berseloroh dengan pertanyaan tersebut. Kebiasaanya saya akan membalas dengan cerita atau kisah para Nabi untuk dijadikan teladan bersama. Sebagai contoh, kisah Nabi Zakaria yang sudah berusia dan isterinya pula mandul, tetapi dengan kuasa Allah, mereka dikurniakan zuriat.

4. Anas akan beraya dengan Faizal Tahir tak tahun ni? boleh kongsikan apakah kenangan paling tak boleh lupa beraya bersama Faizal?

Kalau pada 1 Syawal, saya tak berapa pasti tapi InshaAllah kami akan beraya bersama cuma tidak tahu pada raya yang keberapa.

Kenangan paling tidak dapat dilupakan bersama Faisal boleh dikatakan selepas saya habis belajar di UK pada tahun 2009. Faisal menelefon saya untuk balik beraya bersama keluarga dan saya katakan tidak dapat balik atas sebab baru menerima tawaran kerja. Jika saya balik, di kira tidak akan kembali ke UK semula. Desakan Faisal membuatkan saya membuat persiapan kurang dari 2 minggu untuk meninggalkan UK secara baik.

Kisah bermula apabila saya pulang pada hari terakhir Ramadan dan tidak beritahu keluarga. Saya bersembunyi di rumah Faisal sehinggalah pada Hari Raya pertama, ketika keluarga ingin berangkat ke Penang dan saya dipertemukan bersama mak dan ayah di perhentian RnR. Faisal merancang untuk berhenti seketika bagi memeriksa keadaan enjin kereta dan pada masa itu, saya berlakon menjadi tukang enjin dan berpura-pura untuk membaiki. Setelah menoleh beberapa kali, barulah mak dan ayah perasan yang saya sudah di Malaysia dan dapat beraya bersama mereka.

Memang tak dapat bayangkan betapa gembiranya mak dan arwah ayah bila saya pulang untuk beraya dengan keluarga. Kenangan yang membahagiakan dan semoga kami dipertemukan di syurga yang abadi.
;