Laman Utama

15 Jam, 30 Artis, Atas Angin Independent Festival Lakar Sejarah Sendiri! Bukti Band Indie Masih Relevan

gempak
Shahrin Zulkifle
08/08/2022
12:00 MYT
Sponsor Banner
15 Jam, 30 Artis, Atas Angin Independent Festival Lakar Sejarah Sendiri! Bukti Band Indie Masih Relevan
Atas Angin Independent Festival melakar sejarah tersendiri selepas berjaya menganjurkan sebuah festival muzik indie pertama dan terbesar di Malaysia yang berlangsung pada 6 Ogos lalu bertempat di Bandar Gamuda Cove, Banting, Selangor.
Konsert yang berlangsung selama 15 jam tanpa henti bermula seawal jam 9 pagi itu telah menghiburkan 4000 penonton yang hadir.
Menurut pengarah projek Atas Angin Independent Festival, Arif Imran jelas tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan syukur melihat sambutan yang diberikan oleh peminat muzik indie.

Sambutan luar jangkaan

“Untuk konsert kali ini memang lain dari yang lain, sambutan yang diberikan oleh peminat sangatlah memeranjatkan saya.
“Saya sendiri tidak menyangka akan seramai ini peminat yang datang untuk menyokong band indie pilihan mereka.
“Sebenarnya kami menjangkakan lebih kurang 2000 hingga 3000 sahaja penjualan tiket, tapi rezeki dan sambutan yang amat menggalakkan, tiket berjaya dijual sebanyak 4000 keseluruhannya.
“Saya terharu melihat peminat yang datang, mereka sangat gembira melayan konsert ini, ada yang datang seawal pagi lagi dengan cuaca panas terik namun masih setia menanti band kegemaran untuk menyanyi.
“Perasaan gembira itu memang tidak boleh digambarkan, seronok yang teramat sangat, mungkin sudah terlalu lama tiada konsert sebegini, jadi peminat di luar sana sangat teruja untuk datang” ujar Ariff.
Sementara itu, Atas Angin Independent Festival telah menyaksikan sebanyak 30 kumpulan artis indie yang mengambil bahagian termasuk band popular seperti OAG, Salammusik, Bunkface, Monologue, Grey Sky Morning dan ramai lagi.

Kelainan konsert ada dua pentas

Selain menjadikan penganjuran berskala besar, Ariff berkata pihaknya telah melakukan beberapa kelainan berbanding konsert terdahulu dimana artis indie yang terlibat akan melakukan persembahan secara serentak di dua pentas yang berbeza.
“Kelainan yang paling ketara untuk konsert kali ini berbanding tahun-tahun sudah adalah kami mengadakannya dengan skala yang lebih besar supaya lebih ramai lagi yang boleh hadir.
“Yang uniknya lagi, kami buat dua stage (pentas) iaitu stage A dan stage B, yang mana kami letakkan secara belakang membelakangi antara kedua stage.
“Saya yakin setakat ini belum ada lagi konsep stage sebegini dilakukan dalam mana-mana konsert,” jelasnya.
Lebih menyeronokkan, peminat yang hadir berpeluang memiliki barangan merchandise jenama Atas Angin yang dijual di bawah khemas urusetia selain beberapa gerai jualan makanan dan minuman turut disediakan.

Lebih banyak konsert akan datang

Dalam pada itu, Ariff memaklumkan Atas Angin akan terus menghiburkan peminat dengan beberapa lagi penganjuran konsert akan datang.
“Band indie akan terus berkembang, sebab kami mampu buktikan yang kami boleh bergerak sendiri, kami buat semua ini untuk mengangkat band-band indie yang ada di Malaysia khususnya.
“Jadi selepas ini kami akan ada tour (jelajah) di lima buah negeri yang akan kami maklumkan kelak dan beberapa lagi projek yang masih dalam perancangan kami.
“Antara cadangannya kami ingin adakan persembahan bulanan, mungkin dalam sebulan ada dua kali persembahan macam tu, tapi semuanya akan dilihat semula mengikut keadaan.
“Apa-apa pun kami akan usaha untuk memastikan rancangan tersebut berjaya,” jelas Ariff.
Sebelum menutup bicara, Ariff sempat menyampaikan ucapan terima kasih kepada kru dan pasukannya yang sentiasa memastikan perjalanan konsert berjalan lancar dari awal hingga akhir.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live