BERITA
1,500 Kanak-Kanak Sertai Program Haji Kids Peringkat Negeri Melaka 2025
Program Haji Kids Kembara ke Baitullah, sebuah simulasi ibadah haji khas untuk kanak-kanak peringkat umur 3 hingga 12 tahun, mendapat pengiktirafan tinggi daripada YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, yang merasmikan program tersebut di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit.
Dalam kenyataan rasminya, beliau menyifatkan program anjuran Warnakala Studios bersama JAPERUN Duyong, Bahagian Promosi Pelancongan, dan Jabatan Ketua Menteri Melaka ini sebagai satu pendekatan pendidikan yang progresif dan sejajar dengan keperluan generasi masa kini.
Ab Rauf turut menyatakan hasrat agar program ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan menjadikan Melaka sebagai lokasi tetap bagi penganjuran Haji Kids.
“Ternyata inisiatif ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat di peringkat negeri, bahkan berpotensi menjadi tarikan berskala nasional untuk mendidik anak-anak dalam memahami ibadah haji secara lebih dekat dan bermakna," tambahnya.
