Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

1586 Pencalonan & 72 Kategori… Anugerah Seri Angkasa 2022 Kini Kembali Selepas 6 Tahun, Mahu Setaraf Dengan Cannes Film Festival

Asyikin Mayudin
18/10/2022 07:30 MYT
Selepas enam tahun, malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 kini kembali berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 October ini yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Bertemakan ‘Kemuncak Kecemerlangan’ ASA 2022 yang seiring dengan sambutan Jubli Emas, bakal mempertandingkan sebanyak 72 kategori iaitu 43 kategori TV, 22 kategori Radio dan masing-masing satu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Anugerah Seri Angkasa.

Menurut Menteri Komunikasi & Multimedia, Tan Sri Annur Musa, sebanyak 1586 pencalonan yang diterima dan akan diadili seramai 55 orang juri selain dua orang juruaudit.

“Beberapa tahun tidak dilaksanakan, pemain industri ramai yang menantikan. Kali ini pencalonan dibuat atas talian dan sambutan begitu luar biasa. Terdapat 1586 pencalonan rekod tertinggi setakat ini.

“Dua anugerah utama khas juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa. Penghakiman mencabar, pasukan juri terdiri daripada 55 orang dan dilantik dua juruaudit untuk pastikan penghakiman berintegriti. Semua proses penjurian akan dijamin dilaksanakan secara adil dan telus dan disahkan juruaudit yang telah dilantik.

“Penerima anugerah turut menerima wang tunai bagi kategori yang dimenangi selain trofi. Dua anugerah akan mendapat hadiah tambahan iaitu drama terbaik dan dokumentari terbaik dirancang akan menerima dana kandungan digital 200,000 dan 150,000,” katanya ketika majlis pelancaran yang diadakan di Kementerian Komunikasi & Multimedia, Putrajaya pada Selasa.

Sementara itu, Annuar Musa turut berharap acara kemuncak tersebut akan menjadi lebih berprestij seperti Cannes Film Festival dengan kehadiran para penggiat seni bergaya mewah di karpet merah.

“Sesi dua malam anugerah akan dihadiri pemain industri dan malam kemuncak pada 30, Ahad di PICC. Saya minta cross check supaya acara akan jadi berprestij dan akan sama dengan Cannes Film Festival.

“Red carpet kita, saya minta penganjur susun lebih rasmi mengenai etika dan syarat berpakaian serta mengikut jadual. Dan tidak boleh naik kereta kecil... pinjam atau sewa la kereta mewah,” ujarnya.

Buat julung kalinya juga, ASA 2022 turut memperkenalkan lima kategori Media Baharu iaitu Drama Pendek Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Sketsa Pendek Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Video Klip Hiburan Menerusi Youtube Rasmi Terbaik, Pesanan Khidmat Masyarakat Menerusi Youtube Rasmi Terbaik dan Drama Bersiri Menerusi Youtube Rasmi Terbaik.

ASA yang mulai dianjurkan pada tahun 1972 merupakan pengiktirafan Kerajaan dalam memartabatkan penggiat seni dan para karyawan industri kreatif tanah air.

#Penggiat Seni #Anugerah #Annuar Musa #Anugerah Seri Angkasa 2022 #ASA22 #Kementerian Komunikasi Multimedia