Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

16 Tahun Sorok Mayat Teman Wanita Bawah Lapisan Simen

Gempak
25/09/2024 10:25 MYT
Seorang lelaki di Korea Selatan membunuh teman wanitanya ketika kejadian 16 tahun lalu dan menyembunyikan mayat mangsa di bawah lapisan simen balkoni.


Suspek yang kini berusia dalam lingkungan 50-an didakwa melakukan perbuatan itu pada Oktober 2008 selepas bertengkar dengan kekasihnya.


"Dia memukul mangsa hingga mati dengan objek tumpul dan kemudiannya memasukkan mayat wanita itu ke dalam bagasi besar.


"Bagi menyembunyikan bukti pembunuhan itu, lelaki itu tergamak mendirikan batu bata dan menyimen mayat tersebut setebal kira-kira 10 sentimeter," kata jurucakap Polis Wilayah Gyeongnam dan Balai Polis Geoje.


Kehilangan wanita itu hanya dilaporkan selepas tiga tahun selepas gagal dihubungi keluarganya.


Ketika disoal siasat pada 2011, suspek memberitahu polis kononnya mereka telah berpisah dan kes itu gagal diselesaikan kerana kekurangan bukti.


"Mayat itu gagal ditemui sebelum ini kerana ruang tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan dan sememangnya kosong sejak 2016.


"Pada tahun sama, pelaku ditahan atas kes salah guna dadah dan pemilik rumah itu mendakwa lokasi sorok mayat itu digunakan sebagai ruang simpanan," jelasnya.


Rahsia itu terbongkar pada bulan lalu selepas seorang pekerja menemui bagasi tersebut ketika dia mencari punca kebocoran air.


"Mayat itu belum mereput sepenuhnya dan ia membolehkan identiti mangsa dikenal pasti menggunakan cap jarinya," ujarnya lagi sambil menambah lelaki itu akhirnya mengaku melakukan pembunuhan tersebut.


Difahamkan, proses siasatan hampir selesai dan suspek bakal diserahkan kepada pihak pendakwa dalam masa terdekat.

Sumber: Sinar Harian

#Kes Bunuh #Jenayah #16 Tahun #Sorok Mayat
;