18 Hari Tayang, Filem Ola Bola Kutip Lebih RM12 Juta
Filem arahan Chiu Keng Guan, Ola Bola terus mendapat sambutan hebat di pawagam selepas menerima kutipan melebihi RM 12 juta.
Sejak tiga minggu berada di pawagam, Ola Bola yang menampilkan bakat baru seperti Luqman Hafidz, Eric Teng, Saran Kumar serta aktor hebat Bront Palarae turut mengungguli carta top 10 Golden Screen Cinema (GSC).
Berlatarbelakangkan era 80-an, filem yang mengisahkan zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.
Kisah yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini bukan sahaja memaparkan semangat juang dan maruah pasukan bola sepak negara, tetapi juga menyaksikan kepayahan dan kesungguhan barisan pemain mengatasi masalah peribadi dan juga yang berkaitan dengan pasukan.
Impak Ola bola turut mendapat impak dan perhatian bekas pemimpin tertinggi negara, Tan Sri Rafidah Aziz yang turut menceritakan pengalaman bagaimana sukan bola sepak boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum di akaun Facebook miliknya.
Jelas Rafidah Aziz, biarpun tidak memiliki televisyen, namun rakyat Malaysia bersatu hati untuk sentiasa memberi sokongan dengan membayangkan apa yang diulas oleh pengulas melalui siaran radio.
Malah Rafidah meluahkan rasa gembira kerana majoriti anak muda di negara ini masih mempunyai semangat penyatuan dan kepercayaan tanpa rasa sangsi.
Untuk mengikuti info terkini tentang OlaBola, sila layari www.olabola.com.my, www.olabola.tv, www.youtube.com/astroshaw, www.facebook.com/astroshaw dan www.instagram.com/astroshaw.