Seramai sekurang-kurangnya 18 orang selebriti dari Indonesia bakal turun ke Kuala Lumpur demi mempromosikan filem Syaitan Munafik yang bakal ditayangkan di pawagam pada 21 Disember ini.

Kata penerbitnya, Ray Rusdi, antara selebriti yang bakal hadir ialah Mayang Lucyana, Dafina Jamasir, Ichal Muhammad, Vanda, Hami Dia, Vinessa Ines, Derick Jordan, Lolly Ismaya dan ramai lagi.

Selain itu, penyanyi dan pemenang ratu cantik Indonesia Jawa Tengah, Ilma Fitriana juga bakal hadir sama.

Kesemua artis ini merupakan sahabat kepada pelakon Allahyarham Ashraf Sinclair dan mereka juga pernah berlakon bersama dengan hero filem Syaitan Munafik ini.

Kata pelakon utamanya, Dea Lestari, filem yang ditunggu-tunggu ini bakal membuatkan peminat filem seram Malaysia dan Indonesia puas.

"Pastinya ini filem yang ditunggu-tunggu. Mengingat produksinya sudah sangat lama dan mengalami banyak modifikasi.

"Selain itu, alur ceritanya yang pasti akan membuat penggemar film horor dua negara puas," katanya.

Sementara itu, tambah Dafina Jamasir, filem ini secara tidak langsung membina hubungan kerjasama erat serumpun.

"Dunia perfileman sekarang ini sangat jauh berkembang. Apalagi di suatu project film kita di pertemukan antara artis Indonesia dan Malaysia maka kerja sama akan sangat terbangun.

"Mulai dari teman baru, pengalaman baru dan projek-projek baru kedepannya yang akan membuat hubungan akan semakin erat untuk Indonesia & Malaysia," ujarnya.

Filem Syaitan Munafik turut dibarisi pelakon Malaysia antaranya Faizal Hussein, Ruminah Sidek, Datuk Jalaluddin Hassan, Linda Hashim, Nabil Ahmad dan ramai lagi.

Sinopsis Syaitan Munafik

Mengisahkan sekumpulan pelajar di mana dua daripada mereka berasal dari Indonesia dan tiga pelajar tempatan, membuat kajian mengenai kewujudan puteri bunian dan alam ghaib.

Mereka menempuhi berbagai halangan dari awal perjalanan hingga tiba di kaki sebuah gunung. Tanpa menghiraukan kejadian aneh, kenderaan yang mereka naiki meluncur ke suatu tempat yang dilihat seperti alam ghaib.