Sebanyak 19 kes kematian melibatkan tahanan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan sejak Januari tahun ini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata sembilan kes yang direkodkan melibatkan kematian dalam lokap, lapan kematian di hospital dan dua dalam perjalanan ke hospital.

Beliau berkata kes-kes kematian itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sejak penubuhan unit itu awal tahun ini (1 Jan 2022).

“Sebanyak 14 kes melibatkan kematian lelaki berbangsa Melayu, masing-masing satu kematian melibatkan lelaki Cina dan India dan tiga warganegara asing iaitu warga Myanmar (dua kematian) dan Indonesia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada 19 kes tersebut, satu kes telah dituduh di mahkamah melibatkan empat suspek yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

“Satu kes telah dirujuk kepada pihak koroner dan 17 kes masih dalam siasatan," katanya.

Noorsiah berkata semalam pihak PDRM telah mengadakan satu mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), bagi membincangkan perkembangan siasatan kes kematian dalam tahanan.

Menurutnya lawatan bersama Suhakam dan EAIC ke lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam turut diadakan bagi memberikan gambaran jelas cara pengoperasian lokap berpusat PDRM, yang turut disertai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

Katanya kolaborasi PDRM bersama agensi-agensi lain merupakan sebahagian usaha bagi menangani isu-isu kematian dalam tahanan atau jagaan polis, dan pada masa sama menunjukkan keterbukaan serta ketelusan PDRM dalam pengurusan tahanan.


Sumber: Bernama