HIBURAN
“19 Tahun Yang Luar Biasa” – Shuib Kenang Persahabatan Dengan Mamat, Doa Sampai Ke Syurga
Pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, mencuri perhatian ramai apabila berkongsi momen istimewa bersama sahabat baiknya yang juga pelawak, Mamat, di media sosial.
Menerusi hantaran yang memaparkan beberapa foto mereka bersama, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, meluahkan rasa syukur atas ikatan persahabatan yang telah terjalin sejak hampir dua dekad lalu.
“19 tahun yang luar biasa. Allah kurniakan perjalanan persahabatan yang sungguh klasik. Ada suka, ada tawa, ada sedih menusuk jiwa,” tulis Shuib di ruangan kapsyen.
Tambah Shuib, mereka yang kini sama-sama menginjak usia 40 tahun juga berharap fasa kehidupan seterusnya akan terus mematangkan hubungan persahabatan yang dibina sejak zaman awal penglibatan mereka dalam dunia lawak.
“Umur masing-masing dah masuk 40, semoga ke depan kita jadi sahabat yang lebih dewasa. Semoga Allah izin kita bersahabat sampai syurga.”
Perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang tersentuh dengan keakraban pelawak yang telah lama mewarnai industri hiburan tanah air ini.
“Setiap kali tengok gambar diorang, sedih sangat sebab membesar dengan lawak sepah. Rindu korang bergabung. Semoga Allah lembutkan hati korang semua untuk kembali menyayangi macam dulu.
“Kawan boleh di gelar sahabat bila kau dah bergaduh dengan dia tapi ko boleh baik semula,” komen beberapa netizen.
Must-Watch Video