Industri animasi Malaysia semakin mencuri perhatian dan mendapat tempat di hati peminat.

Karya hasil idea kreatif anak tempatan ini mempunyai kualiti setanding produk animasi antarabangsa.

Malah, kutipan yang memberangsangkan dan mencapai tahap pecah panggung juga menjadi penanda aras kebangkitan industri animasi Malaysia.

Filem animasi Boboiboy Movie 2 terbitan Astro Shaw dan Animonsta Studios yang mendapat sentuhan sutradara Nizam Razak membuka jalan kegemilangan ini.

Mula ditayangkan pada 8 Ogos 2019, filem ini merupakan kesinambungan kepada karya Boboiboy The Movie yang diterbitkan pada 2016.

Paling membanggakan, filem ini mendapat respon yang sangat positif dari ramai pihak dan berjaya meraih kutipan RM30 juta di pawagam, menewaskan filem-filem animasi lain!



Kegemilangan karya animasi tempatan diteruskan dengan filem Ejen Ali The Movie yang ditayangkan bermula 28 November tahun lalu.

Membuka tirai tahun 2020 dengan jayanya, filem ini berjaya meraih kutipan RM30 juta dalam masa enam minggu dan masih hangat ditayangkan di pawagam sehingga kini!

Karya terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios ini mendapat sentuhan Usamah Zaid Yassin sebagai pengarah dan kini menduduki carta teratas filem pecah panggung tempatan 2019.

Pastinya kutipan filem Ejen Ali The Movie dapat meningkat lagi sehingga filem ini tamat ditayangkan di pawagam!

Imbas kembali, karya animasi mula mencuri tumpuan dengan tayangan animasi Konsert Hora Horey Didi & Friends di pawagam yang ditayangkan pada 10 Mac 2018.

Filem arahan Sinan Ismail yang merupakan kerjasama antara Digital Durian dan Astro ini mendapat kutipan kasar sebanyak RM2.7 juta!

Difahamkan, filem Didi & Friends juga sedang dalam pembikinan dan bakal menyusul di pawagam!



Seterusnya, filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang mula ditayangkan pada 21 Mac 2019 turut mencuri tumpuan peminat.

Naskhah yang menggabungkan genre pengembaraan, kekeluargaan dan fantasi ini merupakan arahan Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin dan Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim.

Meraih kutipan lebih RM26 juta, filem ini turut mendapat reaksi positif ramai pihak yang memuji naskhah animasi tempatan!

Tahniah diucapkan untuk seluruh warga produksi Konsert Hora Horey Didi & Friends, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Boboiboy Movie 2 dan Ejen Ali The Movie yang berjaya mengangkat industri animasi Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi!

Untuk anda yang belum berkesempatan menonton filem Boboiboy Movie 2, saksikannya sekarang menerusi Astro First di saluran 480.

Anda yang masih belum menonton filem Ejen Ali The Movie, jangan lepaskan peluang menonton filem ini di pawagam berhampiran serta saksikan siri animasi ini di saluran Disney (615) setiap Isnin hingga Jumaat jam 9.33 pagi dan 6.15 petang!

Bagi anda yang mahu menonton siri Didi & Friends, saksikannya di saluran Hello (110) dan Astro Ceria (611) atau anda boleh menyemak jadual tontonan di sini.

Bagi anda yang mahu menonton siri Upin & Ipin, saksikannya di saluran Astro Prima (105), Prima HD (121), Ceria (611) dan Disney (615) atau anda boleh menyemak jadual tontonan di sini.