Berita
2 Kluster Baharu Dikesan Di Tempat Kerja
Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 yang kesemuanya melibatkan tempat kerja di Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Solar Ria melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 7 Disember lalu, hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.
"Sehingga 14 Disember 2020 (semalam), sejumlah 2,339 individu telah disaring, di mana 25 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini yang melibatkan sembilan warganegara dan 16 bukan warganegara," katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kluster kedua ialah Kluster Senu Setia melibatkan daerah Kepong, Kuala Lumpur dengan kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 13 Dis, juga hasil saringan sebelum pulang ke negara asal
"Sehingga 14 Dis, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19. Kesemua kes dalam kluster ini merupakan bukan warganegara," katanya.
Sumber: Bernama