BERITA
2 Lelaki Gay Dirotan Di Khalayak Ramai
Dua lelaki dirotan secara terbuka di sini pada Khamis, selepas didapati menjalinkan hubungan sejenis, dengan masing-masing menerima 82 dan 77 kali sebatan.
Detik.com melaporkan hukuman tersebut dijalankan selepas kedua-dua mereka dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Syariah Kota Banda Aceh, Indonesia.
Kedua-dua individu yang disabitkan kesalahan, iaitu Apis Irawan (AI) dan Delmaza Ahmad (DA), menjalani hukuman rotan di hadapan orang ramai di Taman Bustanussalatin (Taman Sari), Banda Aceh.
Apis Irawan menjadi pesalah pertama untuk menjalani hukuman.
Sebelum hukuman dijalankan, kedua-dua mereka mendengar ceramah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Zul Arafah.
Setiap 10 kali rotan, proses dihentikan untuk memberikan Apis air mineral dan memeriksa kesihatannya oleh pasukan perubatan. Apis akhirnya selesai menjalani 82 kali rotan, dan selepas itu, dia dipapah oleh anggota polis syariah untuk dibawa ke tempat rehat.
“Dalam perbicaraan sebelum ini, Apis dijatuhi hukuman rotan sebanyak 85 kali, namun disebabkan dia telah menjalani penahanan selama tiga bulan, hukuman tersebut dikurangkan,” katanya.
Sementara itu, Delmaza Ahmad, individu kedua yang disabitkan kesalahan, menjalani hukuman rotan sebanyak 77 kali setelah dikurangkan dengan masa tahanan yang telah dijalani.
Sama seperti Apis, Delmaza juga menjalani proses rotan dengan setiap 10 pukulan dihentikan, dan selepas selesai, dia dibawa ke tempat rehat dengan kawalan polis syariah.
Kedua-dua lelaki tersebut ditangkap oleh orang awam ketika mereka sedang melakukan hubungan seks sesama jenis di sebuah bilik di Banda Aceh. Kes tersebut kemudiannya dibawa ke Mahkamah Syariah untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan, kejadian ini bermula apabila AI menjemput DA di Asrama Kopelma Darussalam, Banda Aceh pada petang 7 November 2024, dan membawa DA ke rumah sewa di kawasan Syiah Kuala.
Setibanya di rumah sewa berkenaan, kedua-dua mereka dilaporkan sempat bercumbu hingga melakukan hubungan sejenis. Aksi mereka dihentikan oleh seorang penduduk setempat lantas melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.
Sumber: Sinar Harian