Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Berita

2 Maut Dalam Tragedi Pokok Besar Tumbang Di Lokasi Pelancongan Popular Bali

Gempak 11/12/2024 | 05:25 MYT
Sekumpulan pelancong asing yang sedang melawat kawasan popular di Monkey Forest, Ubud di Pulau Bali, Indonesia dikejutkan dengan kes sebatang pokok besar tumbang, mengakibatkan dua daripada mereka maut dan seorang cedera.

Portal berita Kompas melaporkan, pihak polis Gianyar mengesahkan, dua pelancong asing yang maut itu berasal dari Korea Selatan bernama Kim Hyoeun , 42, dan warga Perancis iaitu Justine Christine, 32. Seorang lagi mangsa yang cedera juga berasal dari Korea Selatan.

"Terdapat salah satu pokok tumbang dan menimpa pengunjung di Monkey Forest. Saat ini tercatat dua orang meninggal dan satu dalam keadaan cedera," kata kenyataan polis.

Buat masa ini, pihak berkuasa mengarahkan kawasan pelancongan itu ditutup buat sementara waktu, dan siasatan kini dijalankan berkaitan punca pokok besar itu tumbang.

Monkey Forest terkenal dalam kalangan pelancong yang mahu berkunjung ke tapak kuil tradisional yang terletak dalam kawasan tanah rimba, dan sering kali 'disapa' dengan gelagat kawanan monyet dan kera di situ.

Dalam pelbagai video yang kini tular di media sosial, kelihatan sekumpulan pelancong asing lari bertempiaran apabila menyedari sebuah pokok yang tinggi dan besar tumbang ke arah laluan legar di lokasi tarikan itu.

Ada beberapa pelancong yang sempat menyelamatkan diri manakala ada yang terperangkap di bawah rimbunan dahan dan ranting yang menghempap.

Berkait tragedi berkenaan, Ketua Perhubungan Masyarkat Polis Daerah Bali, Jansen Avitus, yang dipetik Kompas, menasihatkan orang ramai dan pelancong supaya berwaspada semasa keluar dari rumah.

Dilaporkan, Bali ketika ini turut menerima tempias musim monsun dan banyak kawasan di sekitar pulau peranginan itu dibadai hujan lebat serta angin kencang, kerap mencetuskan risiko tinggi, terutama di daerah yang banyak pokok-pokok besar di pinggir jalan.

Sumber - AGENSI menerusi BH

#Monkey Forest #Pokok besar #Ubud Bali
;