2 Rakyat Malaysia Ditahan Sembunyi Dalam But Kenderaan Untuk Keluar Dari Singapura
Dua rakyat Malaysia ditahan pada 5 Julai (Sabtu) kerana cuba keluar dari Singapura secara haram dengan bersembunyi di bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, ICA memaklumkan bahawa pemandu kenderaan berusia 20 tahun yang juga warganegara Malaysia, turut ditahan.
Ketiga-tiga lelaki itu telah didakwa di mahkamah pada hari yang sama.
ICA berkata, dalam kejadian kira-kira 3 pagi, pegawainya telah mengarahkan sebuah kenderaan yang didaftarkan di Malaysia yang hendak keluar dari Singapura untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Woodlands sebelum menemukan dua lelaki berkenaan yang bersembunyi di dalam but kenderaan.
"Kedua-dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” menurut agensi itu.
Di bawah Akta Imigresen 1959, hukuman bagi kesalahan keluar secara haram ialah denda sehingga S$2,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan membawa pendatang tanpa izin keluar dari Singapura, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sekurang-kurangnya tiga sebatan.
ICA menambah bahawa kenderaan yang digunakan untuk kesalahan sedemikian boleh dirampas.Sumber: Sinar Harian