Hiburan
"2 Tahun Saja Bahagia, 9 Tahun Lagi..." - Balkisyh Dedah Pengalaman Pahit Jadi Mangsa Keganasan Perkahwinan
Pelakon drama bersiri Mak Cun, Balkisyh menyembunyikan penderitaan sepanjang 11 tahun perkahwinan dengan bekas suami.
Balkisyh atau nama sebenarnya, Balkisyh Semundur Khan, 31, sering menjadi mangsa keganasan bekas suami dan pernah membuat 14 laporan polis berkaitan dengan perkara terbabit.
"Kehidupan saya nampak bahagia tetapi saya sorokkan apa yang saya alami. Saya sorok sebab mahu menjaga keaiban. Dua tahun sahaja kami bahagia, sembilan tahun saya tanggung derita.
"Selepas bercerai September tahun lalu, saya mempunyai kekuatan untuk melawan semula dan mendedahkan apa yang pernah dilakukan olehnya," katanya.
Hasil perkahwinan Balkisyh dan bekas suami, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qalesya, 7, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 2.
Aktres yang popular dengan watak Atul ini turut memberi penjelasan mengenai video viral yang memperlihatkan aksinya menendang kaki bekas suami.
"Sebenarnya, ketika kejadian itu berlaku, saya sudah hilang sabar. Ia terjadi pada 13 Julai lalu, ketika saya menyambut ulang tahun kelahiran saya.
"Dia tidak berpuas hati dengan hak penjagaan anak selepas keputusan berpihak kepada saya.
"Rupanya, ada perkara lain yang dia mahu lakukan. Dia ingin merakam video. Ketika itu, dia membawa dokumen mahkamah serta mahu mengambil anak-anak.
"Tindakannya itu membuatkan saya tidak percaya dan menghalangnya dari mengambil mereka. Saya bekerja dan mampu menjaga anak-anak. Anak-anak memang tak mahu dijaga olehnya," katanya katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Cintaku Di Bumi Izmir yang diadakan di D’Tahta i-City, Shah Alam pada Selasa.
Karya ini dijayakan oleh Hefny Sahad, Raysha Rizrose, Nabila Razali, Syafie Naswip dan ramai lagi.
Diterbitkan oleh Creative Skill Solution, Cintaku Di Bumi Izmir bersiaran setiap Isnin dan Selasa jam 9 malam di HyppSensasi (Unifi TV saluran 116).
Must-Watch Video