Hiburan
20 Tahun Hidup Bersama, Kucing Kesayangan Salamiah Hassan Mati
Penyanyi Salamiah Hassan meluahkan rasa sedih atas kehilangan satu-satunya kucing kesayangannya yang telah hidup bersamanya lebih 20 tahun.
Menurut Salamiah, 67, kucing jantan yang diberi nama Bubu itu telah mati pada Jumaat lalu.
"Terima kasih kepada semua yang telah mengirimkan ucapan dan doa buat Bubu kesayangan saya.
"Dia kini berada di tempat yang lebih baik. Bubu sentiasa bersama saya sejak 20 tahun 5 bulan lalu dan sentiasa menggembirakan saya.
"Rumah sepi sejak ketiadaan Bubu dan saya harap dapat bertemunya lagi suatu masa nanti," tulis Salamiah sayu.
Terdahulu, kisah Bubu yang kian lemah kesakitan mendapat perhatian rakan selebriti dan peminat.
Difahamkan Bubu menghidap kencing manis dan memerlukan perhatian rapi untuk ubat-ubatan dan peralatan lain.
Umum mengetahui karakter pelantun lagu Gelombang itu yang sangat sayang akan haiwan terutama kucing.
Malah, Salamiah pernah berhabis ribuan ringgit demi menjaga, memelihara dan merawat kucing peliharaannya.
Sebelum ini, Salamiah mempunyai enam ekor kucing peliharaan namun lima daripadanya meninggal dunia akibat sakit.