Laman Utama
20 Tahun Menyepi, Boboy Kembali Bersatu - “Kami Hilang Bukan Sebab Bergaduh Tapi…”
Selepas hampir 20 tahun menyepi, kumpulan pop yang pernah mencetuskan fenomena sekitar tahun 2000, Boboy kini kembali bersatu dalam Konsert Minggu Ini (KMI) terbitan RTM.
Menurut Naqiu, kumpulan itu menyepi buat seketika bukanlah kerana ada pergaduhan antara anggota kumpulan sebaliknya krisis berlaku berpunca dengan dirinya sendiri.
“Sebenarnya kami tidak bergaduh tetapi lebih kepada krisis saya dengan diri sendiri pada ketika itu. Perkara itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk tidak aktif menyanyi.
"Jadi anggota kumpulan lain pula apabila melihat saya tekad untuk tidak mahu aktif maka mereka pun ambil keputusan yang sama.
“Bagi mereka, untuk apa mahu meneruskan karier muzik kalau saya tidak mahu aktif, jadi mereka pun mencari kerjaya lain dan teruskan hidup masing-masing.
“Apa yang membuatkan saya berasa sedih dan sangat menghormati abang-abang saya ini adalah kerana sepanjang ketiadaan Boboy, tidak terlintas langsung di hati mereka untuk tubuhkan kumpulan lain.
“Mereka kata tidak mahu main muzik selain bersama saya. Itulah pengorbanan mereka. Mengingatkan tentang perkara itu dan juga semangat mereka membuatkan saya mahu kembali dan melakukan sesuatu untuk menghidupkan Boboy,” katanya kepada Gempak.
Selain Naqiu, anggota kumpulan Boboy terdiri daripada Shah, 38 (gitar utama), Muz, 38 (gitar kedua), Didi, 38 (bass) dan Dzul, 38 (dram).
Kali terakhir mereka muncul bersama di TV adalah menerusi program Hiburan Minggu Ini pada tahun 2002.
Boboy menjadi kegilaan ramai remaja menerusi single pertama berjudul Episod Cinta ciptaan Awang BPR.
Must-Watch Video