Hiburan
200 Kilogram Rendang Nora Ariffin Terjual, Apa Rahsianya?
Penyanyi Nora Ariffin akui tidak menang tangan mengendalikan tempahan Rendang Tok yang dijualnya sejak Ramadan lalu.
Kata Nora, jalinan kerjasama dengan syarikat katering Mega Event Catering itu membuahkan hasil yang membanggakan.
"Ini umpama mimpi jadi kenyataan. Arwah suami saya (Johan Nawawi) selalu bercita-cita untuk punyai bisnes perniagaan sendiri.
"Akhirnya impian itu saya realisasikan biarpun dia tiada lagi untuk menyaksikannya sendiri.
"Saya memilih Rendang Tok untuk juadah pertama saya kerana saya gemarkan keenakan masakan terbabit selain keupayaannya untuk tahan dalam tempoh yang lama.
"Malah, rakan perniagaan saya, Eja sangat menjaga kualiti makanan yang dihasilkan dan kena dengan selera saya," katanya kepada Gempak.
Tambah pelantun lagu Hanyalah Satu itu lagi, Rendang Tok yang dihasilkannya punyai daya tarikan sendiri.
"Mula-mulanya saya set target dalam 30 hingga 40 kilogram daging lembu rasanya sudah cukup.
"Tetapi tiba-tiba tempahan menjadi berkali ganda hingga 200 kilogram sampaikan saya tak boleh nak tidur malam memikirkannya.
"Ada yang pertama kali cuba satu, datang lagi sekali order sampai 15 kilogram terus," ujarnya.
Rahsia kesedapan Rendang Tok Nora Ariffin selain diperap dalam tempoh yang lama, penggunaaan daging lembu tempatan juga menjadikan rasa hidangan itu autentik.
Malah, Nora mendapat maklum balas daripada pelanggannya bahawa daging yang digunakan sangat lembut dan senang dikunyah.
Selain Rendang Tok, produk usahasama yang dihasilkan termasuklah Daging Masak Hitam, Acar Buah dan Kuah Kacang.
Beberapa produk yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat seperti uzi Kambing, Pes Bihun Goreng, Pes Nasi Goreng dan Karipap Frozen.
Harga Rendang Tok Nora Ariffin dijual bermula RM99 untuk 1,000 gram.
Must-Watch Video