“2018 Jadi Tahun Untuk Saya Lebih Aktif” - Anuar Zain

Kamaruddin Razal
Mac 7, 2018 01:00 MYT
Penyanyi Anuar Zain menyifatkan 2018 sebagai tahun untuknya lebih aktif dalam menjayakan konsert dan persembahan untuk peminat.
Anuar bakal menjayakan beberapa siri konsert seperti An Evening With The Stars Charity Dinner di Johor Bahru pada 6 Mei dan Anuar Zain, Bunga Citra Lestari & Yuka Kharisma Live in Concert di Kuala Lumpur pada 28 April.
“Alhamdulillah, saya merasakan tahun ini bakal menjadi tahun terbaik buat saya. Bukan bermaksud tahun 2017 tidak baik, tetapi kehadiran tahun ini saya rasakan bertambah baik.
“Insya-Allah, selain dua siri konsert yang telah diumumkan, saya akan terlibat lagi dengan beberapa siri konsert pada tahun ini. Saya mahu lebih aktif di tahun 2018,” kata Anuar ketika ditemui di sidang media An Evening With The Stars Charity Dinner di Laman Pengantin Zarlith, Segambut, Isnin lalu.
Biarpun tarikh konsert di Kuala Lumpur dan Johor Bahru agak dekat, pelantun lagu Andainya Takdir ini menjanjikan sesuatu yang berbeza buat semua peminat.
“Apa yang disajikan tidak sama. Artis juga berbeza. Di Kuala Lumpur, konsert tersebut menampilkan saya bersama Bunga dan Yuka manakala di Johor Bahru, persembahan makan malam amal itu akan menampilkan saya bersama Zamani dan penyanyi Singapura, Fauzie Laily.
“Saya teruja menantikan persembahan di Johor Bahru ini. Peminat Singapura juga berpeluang untuk ke Johor bagi menyaksikan persembahan saya,” katanya lagi.
Pengajur acara An Evening With The Stars Charity Dinner, E&F Event Resources akan menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Lace Datuk Rokiah bagi membantu insan kurang berkemampuan, anak yatim, golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal di sekitar Johor Bahru.
Bakal berlangsung pada 6 Mei, jualan tiket untuk acara An Evening With The Stars Charity Dinner akan mula dijual pada bulan ini dengan harga RM298 hingga RM1,598. Tiket boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Penyanyi #Anuar Zain #Penyanyi